Tuesday, 2 April 2013

JANGAN TERPESONA DENGAN JANJI MANIS






Oleh : ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA: Menteri di Jabatan Ketua Menteri,Dato Sri Haji Nasir Tun Sakaran, meminta rakyat tidak terpesona dengan janji-janji manis pihak pembangkang yang sering ditabur setiap menjelang pilihan raya.

Katanya, pembangkang hanya tahu berjanji tetapi tidak menunaikannya berbanding dengan kerajaan BN sentiasa menunaikan janji.

Apa yang penting katanya, rakyat hendaklah sentiasa berganding bahu berpimpin tangan memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat berlandaskan misi Tradisi Membela Rakyat tanpa membezakan sukukaum, anutan agama mahupun ideologi politik.

Ini katanya jelas terserlah dalam gagasan konsep 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat dan Janji Ditepati.

Beliau berkata demikian sempena Program Ziarah Rakyat & Pengesanan Pengundi di empat buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Senallang di sini.

Antara kampung yang diziarahi itu termasuklah Kampung Tarapuli; Kampung Blok Tarapuli; Kampung Pegagau Baru dan Kampung Kubang Pinang.

Program turun padang Ziarah Rakyat itu yang dilakukan sepanjang tahun bertujuan mendengar keluhan rakyat, menyampaikan bantuan dan melawat projek pembangunan kerajaan serta diteruskan dengan pengesanan pengundi di setiap Pusat Daerah Mengundi sebagai persiapan akhir menghadapi PRU-13.

Sejak program itu dilaksanakan awal tahun ini lebih 5,000 pemilih telah dikesan daripada  bilangan 68 buah kampung yang meliputi 1,780 buah rumah dalam kawasan DUN Senallang.

Berdasarkan pewartaan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang mempunyai bilangan 13,365 pemilih berdaftar termasuk pengundi baru  sementara pengundi Parlimen  P.189 Semporna 41,071 orang pemilih.

Sehubungan itu Nasir yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Semporna,menasihatkan rakyat tidak tersalah pilih parti yang bakal menerajui kepimpinan Negara.

Ujarnya,apabila tersalah perhitungan memilih parti yang tidak membela serta memperjuangkan nasib rakyat maka rakyat jugalah yang akan rugi dan menyesal tidak berkesudahan.

"Ingatlah apabila kita tersalah memilih pemimpin dan parti menerajui negara ini dan kita kehilangan kuasa, kita tidak lagi dapat menikmati kemakmuran yang kita perolehi daripada pemimpin dan Barisan Nasional (BN)," kata Nasir.

Ujarnya, selama ini rakyat dan negara berada dalam keadaan aman, makmur dan selamat serta menikmati pelbagai bantuan dan pembangunan seiring dengan niat ikhlas BN membela rakyat.

Nasir menambah, rakyat harus sedar apabila parti yang didokong dan cukup prihatin membela nusa, bangsa dan agama ini kehilangan kuasa ianya akan membawa kerugian besar kepada rakyat kerana tidak lagi akan dapat menikamti apa yang diberikan oleh kerajaan yang ada sekarang.

"Sentiasa bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kerajaan yang ikhlas membela nasib rakyat merupakan nilai intagriti cukup bermakna dalam sebuah kehidupan bermaruah," kata Nasir.

Dalam pada itu juga beliau turut merasa kesal dengan segelintir penduduk yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur kerana menderhaka kepada negara dan bersengkongkol dengan pengganas Kiram III melakukan pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna  sehingga mengorbankan anggota pasukan keselamatan serta memusnahkan kediaman penduduk.

Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, turut mengingatkan umat Islam sentiasa menghayati ajaran agama yang benar berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berlandaskan Al-Qur’an dan Hadis dan tidak sewenangnya mempergunakan ayat-ayat suci Al-Qur’an dengan tujuan yang salah serta tidak menyalah tafsir makna jihad fi’sabillilah.

Katanya kerajaan sentiasa prihatin menyalurkan pelbagai bantuan termasuk membangunkan prasarana pendidikan; kesihatan termasuk keperluan asas dan perumahan rakyat serta rumah ibadat surau dan masjid.

Katanya semua bantuan itu seharusnya dimanfaatkan dan dijaga dengan baik.

Nasir berkata, surau dan masjid hendaklah diimarahkan dan tidak dibiarkan kosong begitu sahaja.

Di sinilah katanya, peranan para imam dan ketua kampung serta pengerusi JKKK harus digembleng untuk memimpin umat bersatu padu  menunaikan perintah agama dengan mengimarahkan masjid dan surau sepanjang waktu.

"Berkasih sayanglah sambil mematuhi perintah agama kerana tanpa rasa sayang kepada nusa, bangsa dan agama kita tergelincir daripada landasan dan fitrah ummah yang bertamadun," kata Nasir.

No comments:

Post a Comment