Sunday, 14 April 2013

KRISIS BEKALAN AIR TAMBUNAN SELESAI






BEROPERASI…Pairin bersama Tam, Robert dan Geofry di perasmian penggunaan Projek Naiktaraf Mukasauk Sungai Tondulu melalui kaedah terusan terbuka (open channel).

Oleh : ROZIE JUMAT

TAMBUNAN :   Masalah  bekalan air yang kerap terputus di daerah ini  terutama di musim banjir kini telah diatasi sepenuhnya dengan perlaksanaan Projek Naik Taraf Muka Sauk Sungai Tondulu. Projek tersebut  telah dimulakan pada tahun 2012 dengan kos RM4.99 juta.

Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, dengan terlaksananya projek berkenan yang  telah beroperasi sejak Februari lalu, Jabatan Air telah mengatasi  masalah gangguan bekalan air yang sering dihadapi oleh para pengguna terutama di musim hujan.

“Kita telah meminta kepada jurutera Jabatan Air untuk mencari jalan mengatasi masalah itu dengan pelbagai cara , dan kita dimaklumkan kaedah yang digunakan di Muka Sauk Sungai Tondulu adalah yang pertama di Sabah, hasil inovasi para jurutera yang bertungkus lumus mencari jalan penyelesaian,” kata Pairin di majlis perasmian Projek Muka Sauk Sungai Tondulu di sini. 

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Robert Stidi, Tam Yin Foon Jurutera  Air Bahagian Keningau, Geofry Lousi Pegawai Kerja Air Daerah serta pemimpin masyarakat.

Menurut Pairin, masalah gangguan bekalan air di daerah tersebut seringkali berlaku di musim hujan atau banjir berlaku di mana Mukasauk sedia ada akan tersumbat oleh pasir, batu, tanah lumpur dan sebagainya yang mengakibatkan Loji Rawatan Air Tondulu berhenti sama sekali atau penurunan bekalan air  yang mendadak daripada pengeluaran normal 12 MLD  (Million litres Per Day) hingga ke 6 MLD.

Gangguan bekalan itu hanya akan dapat diatasi apabila banjir surut atau hujan lebat berhenti kerana muka sauk perlu dibersihkan yang mengambil masa untuk kembali pulih.




TERUSAN TERBUKA…salah satu kaedah bekalan air diperoleh untuk pengguna di daerah Tambunan.

Geofry Lousi, Pegawai Kerja Air Daerah berkata, sebelum ini Loji Rawatan Air Tondulu menggunakan kaedah konvensional dalam membekal air kepada pengguna. Namun dengan penaikan taraf mukasauk itu berjaya mengatasi masalah sedia ada.

Katanya, 2 kaedah digunakan untuk memastikan bekalan air di daerah itu tidak putus iaitu secara open channel dan chamber water intake.

“Kami (Jabatan Air) berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur kerana berusaha mendapatkan bajet untuk projek ini yang kita tidak jangka memperolehnya dengan begitu cepat,” kata Geofry.

Seramai 22,000 orang pengguna sedia kini menikmati faedah perkhidmatan bekalan air yang berkualiti, berterusan dan mencukupi di daerah berkenaan.

No comments:

Post a Comment