KETUA Menteri Sabah Datuk
Seri Musa Aman sudah dianggap menang sebelum bertanding kerana semua empat calon
yang menentang beliau hanyalah tokoh yang tidak dikenali atau 'Underdog' dalam
politik.
Musa, Pengerusi Barisan
Nasional (BN) Sabah ditentang calon PKR, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti
Reformasi Negeri (Star) dan Bebas.
PKR meletakkan calonnya
Ketua Angkatan Muda Keadilan Libaran, Irwanshah Mustapha; A.M. Jafar @ Damaid
Juana (SAPP); Mohd Arshad Abdul (Bebas) dan Mohd Roslan Yussof (Star).
Musa penyandang DUN Sungai Sibuga
tiba di pusat penamaan calon di Dewan Serba Guna Libaran pada 9.11 pagi bersama
pencadang Datuk Basrah Abdul Rahman dan penyokong Mokhran Ingkat.
Sebaik pusat penamaan calon
dibuka di Dewan Serba Guna Libaran, calon SAPP paling awal memasuki dewan dan
menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pengurus pada jam 9.02 pagi.
Musa diarak oleh
penyokongnya ke pusat penamaan calon dari rumahnya terletak bersebelahan dengan
pusat penamaan calon.
Pada jam 11.35 pagi, Pegawai
Pengurus P.184 Libaran Jeffrey Aman mengumumkan calon yang bertanding untuk
Parlimen Libaran, DUN Sungai Sibuga dan DUN Gum-Gum.
Bagi DUN Gum-Gum, penyandang
kerusi itu Datuk Zakaria Edris (BN) berhadapan dua calon pembangkang iaitu
Ketua Perhubungan PKR, Ahmad Thamrin@Tamrin Mohd Jaini dan Hassan Hami@Hamid
(Star).
Dalam PRU12, Zakaria menang
tanpa bertanding untuk kerusi itu.
Parlimen Libaran,
penyandangnya Datuk Juslie Ajirol (BN) ditentang tiga calon daripada PKR, Star
dan Bebas.
Membuat kejutan anggota Jawatankuasa
Umno Bahagian Libaran yang juga bekas Ketua Pemuda Umno bahagian itu Sahar Saka
bertanding atas tiket Bebas manakala PKR meletakkan Ketua Angkatan Muda
Keadilan Sabah Mohd Serman Hassnar dan Rosnah Unsari (Star).
Keadaan keselamatan terkawal
dan tiada kejadian diingini berlaku berikutan kawalan ketat anggota polis serta
penyokong parti yang bertanding, mematuhi arahan polis.
Musa merupakan sebahagian
daripada 262 calon Dewan Undangan Negeri yang layak bertanding di 60 kawasan di
dalam PRU-13 di Sabah yang menyaksikan buat pertama kalinya tiada calon yang
menang tanpa bertanding seperti sebelumnya.
No comments:
Post a Comment