Saturday 20 April 2013

IBRAHIM ALI DITENTANG ANAK TGNA






KUALA LUMPUR : Calon PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz akan berhadapan satu lawan satu dengan Datuk Ibrahim Ali yang bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Pasir Mas.

Perkara ini mengejutkan apabila calon Barisan Nasional (BN) Che Johan Che Pa yang hadir di Pusat Penamaan Calon pagi ini tidak menghantar borang pencalonannya.

Che Johan yang merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu juga dikatakan mempunyai talian persaudaraan dengan Ibrahim.

Calon PAS Nik Abduh juga merupakan anak lelaki kepada Menteri Besar sementara Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu kecewa sebelum ini kerana tidak diberikan alasan mengapa tidak dicalonkan sedangkan Naib Presidennya Datuk Zulkifli Noordin dipilih menjadi calon BN bagi kerusi parlimen Shah Alam.

“Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya,” katanya awal minggu ini.

Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan BN agar meletakkan Ibrahim sebagai calon dan berjanji untuk berkempen di Pasir Mas sekiranya presiden Perkasa itu terpilih.

Dr Mahathir yang juga merupakan penaung kepada Perkasa juga berkata, orang-orang seperti Ibrahim diperlukan oleh negara.

Ibrahim sebelum ini pernah mengugut mahu membakar bible berbahasa Melayu dan menjadi jaguh mempertahankan hak keistimewaan golongan Bumiputera walaupun ianya telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim bertanding di atas tiket PAS dan menang kerusi Parlimen Pasir Mas selepas mengalahkan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad dengan majoriti 8,991 undi.

Beliau kemudian berkrisis dengan PAS dan mengumumkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

No comments:

Post a Comment