Thursday 8 November 2012

HUKUM NURUL IZZAH KERANA MENGHINA ISLAM





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas beberapa ahli Parlimen membangkitkan isu dakwaan yang mengatakan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyokong kebebasan beragama termasuk kepada umat Islam di negara ini.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz membangkitkan hukuman yang boleh dikenakan ke atas Nurul Izzah kerana menurutnya, Naib Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan orang Melayu Islam bebas memilih agama yang diminati selaku sebagai seorang Islam.

“Dalam kata lain boleh keluar daripada Islam yakni murtad. Apakah hukuman yang boleh dikenakan kepada Lembah Pantai?” soal Mohamad Aziz kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim ketika sesi perbahasan hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Mashitah berkata, setakat ini tiada peruntukan untuk menghukum mana-mana Muslim yang membuka ruang secara terbuka kepada Muslim lain untuk keluar daripada Islam.

“Tiada peruntukan sebegitu, tetapi ia boleh dimasukkan di bawah peruntukan menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

“Mana-mana orang secara lisan atau bertulis mempersendakan atau menyebabkan Islam dipandang hina boleh dikenakan hukuman tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas Mashitah.

Beliau turut menjelaskan, enakmen sedia ada hanya diperuntukkan kepada bukan Muslim yang mendakyah masyarakat Muslim untuk keluar daripada Islam.

“Dalam enakmen kita menyebut, kalau seorang bukan Islam mendakyah orang Islam untuk keluar Islam, maka kita ada dalam enakmen kawalan agama.

“Tapi yang wujud sekarang bukan orang bukan Islam yang ajak orang Islam, tapi orang Islam yang mengajak dan membuka ruang untuk orang Islam sendiri memilih agama setelah ibu bapanya mendidik dan ibu bapa mewariskan agama tersebut kepada anak,” kata Mashitah lagi.

Jawapan Timbalan Menteri itu kemudiannya dibidas Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, yang mendesak Mashitah menyatakan sama ada beliau telah mendengar kenyataan Nurul itu dengan lengkap.

“Saya minta Timbalan Menteri sebelum buat apa-apa pertuduhan, atas perkara dakwaan yang dilemparkan kepada Lembah Pantai, apakah Timbalan Menteri tahu kenyataan sebenar yang disebutkan Lembah Pantai?”

“Lembah Pantai kata ada salah laporan ... tapi Sri Gading tak faham,” tegasnya dan menggesa Mashitah menarik balik kenyataannya itu.

Kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu kemudiannya menyaksikan beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bangun dan mempertahankan Mashitah.

“Angkuh!”, bidas Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Harun kepada Dr Dzulkefly.

“Timbalan Menteri tidak ada membuat tuduhan!” kata Mohamad Aziz yang turut membidas pemimpin PAS tersebut.

Mashitah bagaimanapun menepis dakwaan Dr Dzulkefly, sebaliknya menegaskan beliau hanya menjawab pertanyaan Mohamed Aziz tanpa membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak.

“Saya tahu apa yang saya jawab, persoalan yang dibangkitkan Sri Gading ialah mengenai pemahaman ayat ... saya tak buat sebarang tuduhan.”

Nurul semalam telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan terhadap beberapa media arus perdana termasuk Utusan Malaysia dan Berita Harian, termasuk beberapa laman blog terhadap dakwaan yang mengatakan beliau menyokong 'kebebasan beragama' dalam satu forum baru-baru ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu diwakili oleh peguam, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah.

“Saya tidak merelakan fitnah aqidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan,” jelas Nurul.

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan  Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung dakwaan yang dikeluarkan oleh media berhubung isu tersebut.

Nurul sebelum ini telah dikecam pelbagai pihak kerana kenyataan yang dikeluarkannya dalam satu forum yang didakwa 'menyokong' kebebasan beragama masyarakat di negara ini.

Isu itu telah mendapat perhatian umum yang melihat kenyataan itu keterlaluan kerana majoriti masyarakat negara ini adalah Melayu dan beragama Islam.

Anwar juga turut menyokong tindakan anaknya itu untuk membawa perkara itu ke mahkamah bagi membolehkan tindakan perundangan boleh diambil terhadap pihak-pihak yang membuat tuduhan tersebut.

No comments:

Post a Comment