Wednesday 7 November 2012

ISU KAMPUNG DALAM HUTAN SIMPAN SELESAI





CENDERAHATI….Terima kasih…Ronald menerima cendera kenangan daripada Wanita UMNO Beluran.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee berkata masalah enam buah kampung yang berada di dalam lingkungan kawasan Hutan Simpan Bonggaya di kawasan Sugut akan diselesaikan kerana kini sudah di peringkat kelulusan kerajaan negeri.

Kampung-kampung yang dimaksudkan ialah Kampung Basai, Kampung Sungai Runggus, Kampung Cenderamata, Kampung Rancangan Kokos, Kampung Talongan dan Kampung Bayok.

Ronald berkata, permohonan untuk mengeluarkan kawasan tanah untuk enam kampung sedang dalam proses.

Katanya, perkara tersebut telah dibawa ke peringkat kerajaan negeri tujuan pembubaran dan sebelum itu ia telah dibawa dalam mesyuarat Tindakan Daerah dan dicadang oleh Pegawai Daerah Beluran ke peringkat kerajaan negeri.

"Saya yakin kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah yang dihadapi enam kampung itu," katanya ketika berucap pada Majlis Sukan Rakyat di Kampung Rungus, kelmarin.

Hadir sama Ketua Wanita Umno Beluran, Dayang Endang Datu Asibi dan Pegawai Kemajuan Rakyat Sugut Abdul Rahman Atang.

Beliau yang juga Timbalan yang Dipertua Dewan Rakyat meminta penduduk di enam kampung itu supaya bersabar menunggu perkembangan mengenai usaha membawa keluar tanah kampung mereka keluar dari hutan simpan.

Katanya, apabila status permohonan mereka diluluskan, membolehkan program penyediaan kemudahan asas kepada enam kampung itu dapat dilakukan.

Dalam pada itu beliau menghargai sumbangan pasukan Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Beluran.

Katanya JR memainkan peranan penting dalam membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Beluran pada masa lepas dan pilihan raya umum yang akan dihadapi nanti.

Menurutnya, Wanita Umno Beluran menjadi sayap penting kepada BN Beluran untuk mengekalkan kerusi Parlimen Beluran pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata JR juga memainkan peranan menjaga kebajikan golongan wanita di daerah ini.

No comments:

Post a Comment