Saturday 24 November 2012

KUATKUASA ZON BOT PUKAT TUNDA





Oleh : ARSHAD HUSSIN

BANTUAN...Dato Sri Nasir (tiga kiri) diringi A.M.Ibnu (dua kiri) dan Mohd.Firdaus Abdullah(kiri) menyampaikan Pembayaran Elaun Sara Hidup kepada salah seorang nelayan sempena majlis itu di Semporna.


SEMPORNA: Menteri DiJabatan Ketua Menteri meminta pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meningkatkan usaha menguatkuasa undang-undang membenteras aktiviti bot-bot pukat tunda beroperasi menangkap ikan di kawasan pantai yang tidak dibenarkan oleh pihak kerajaan.

Katanya, pencerobohan dan operasi penangkapan ikan oleh bot-bot pukat tunda di kawasan pantai yang tidak dibenarkan bukan sahaja boleh menjejaskan pendapatan nelayan pantai malah boleh merosakkan tukun dan unjam yang dibina nelayan pantai.

Nasir,menegaskan pihak Jabatan Perikanan juga perlu sentiasa memastikan jenis pukat dan memastikan mata pukat yang dignakan bot-bot pukat tunda tidak diubahsuai sehingga boleh memusnahkan anak-anak ikan yang tidak sepatutnya ditangkap.

“ Bukan di kawasan sini sahaja malah kita mendapat laporan daripada nelayan-nelayan pantai di seluruh negeri ini yang sering berhadapan dengan masalah bot-bot pukat tunda merosakkan tukun dan unjam yang nelayan bina sebagai tempat mencari nafkah,” kata Nasir.

Beliau berkata demikian sempena merasmikan majlis Pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai di sini.

Sempena majlis itu Nasir menyampaikan Elaun sara Hidup kepada 863 orang nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna.

Hadirsama Pegawai Daerah Semporna,Abdul Muhammad Ibnu Abdul Kadir Baba; Ketua Polis Daerah Semporna, Mohd.Firdaus F.Abdullah; Pegawai Lembaga Kemajuan Ikam Malaysia(LKIM) Wilayah 3,Tawau,Mohd Faisal Ab.Gaden; Pengurus Besar PNK Semporna,Dzulkiflee Mohd Shafrie; Ahli Lembaga Pengarah PNK Semporna,Umra Amir Hassan;Pemimpin UPKR Dun Senallang,Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna,OKK Haji Musa Sabaani dan ADDO Haji Abdullah Sukka.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang,menyokong pembinaan Komplek Pendaratan dibina di daerah itu bagi memudahkan kaum nelayan mendaratkan tangkapan ikan dari masa ke masa.
Nasir berkata,kerajaan sentiasa prihatin membela nasib nelayan di negeri ini dengan memberikan pelbagai bantuan termasuk memberikan bantuan  injin sangkut dan subsidi peralatan menangkap ikan termasuk memberikan Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai.

 “ Kita berharap semua kaum nelayan terus berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga di samping mengukuhkan perpaduan serta memberikan sokongan berterusan kepada kerajaan yang cukup prihatin membela nasib rakyat negeri ini,” kata Nasir.

Katanya, setakat ini kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memberikan bantuan kewangan bulanan secara tunai kepada kaum nelayan berjumlah RM200.

Nasir menjelaskan sehingga Oktober 2012 sejumlah RM172,200 telah pun dibelanjakan untuk memberi manfaat kepada 863 orang nelayan sejak Jun 2008.

Sebagai rekod bagi Daerah Semporna sahaja pada awalnya pembayaran dibuat secara terus ke dalam akaun para nelayan  yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan yang diluluskan oleh LKIM.

Namun begitu katanya disebabkan cara lama itu gagal memberi inpun yang tepat kepada pihak LKIM berhubung prestasi nelayan maka kaedah baru pemberian elaun sara hidup secara tunai dimulakan sejak bulan September 2009.

Kaedah baru itu diharapkan boleh mencapai matlamat yang dihasratkan kerajaan yang ingin melihat rakyat khususnya kaum nelayan bukan sahja menerima bantuan kewangan yang tetap malah ianya menjadi suatu cara bagi memastikan  kaum nelayan sentiasa mendapat bimbingan sewajarnya dalam meningkatkan taraf hidup mereka.





TUNGGU....Sebahagian daripada 863 orang nelayan menunggu giliran menerima pembayaran sara hidup secara tunai sempena majlis itu di Semporna.

Sehubungan itu Nasir juga menyarankan pihak LKIM memberikan latihan dan kursus kepada semua kaum nelayan ini bagi memberikan mereka pengetahuan yang lebih mendalam dari segi penangkapan ikan serta mampu merancang hala tuju kehidupan yang lebih baik.

Nasir juga menambah,pelbagai usaha telah kerajaan laksanakan bagi memberikan keselesaan hidup kepada kaum nelayan termasuklah meluluskan Program Khas Perumahan Nelayan (PKPN) sebanyak RM300 Juta dan peruntukan telah diluluskan dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, pada tahun ini sahaja sebanyak 120 buah rumah nelayan di daerah itu telah dibaikpulih dengan nilai RM12,000.00 sebuah dengan jumlah keseluruhan  peruntukan RM1,440.000.00 telah disalurkan melalui MPPP Parlimen P.189 Semporna kepada nelayan yang terpilih.

No comments:

Post a Comment