KUALA LUMPUR : Datuk Seri
Najib Tun Razak meminta masyarakat India di negara ini supaya menilai semula
sumbangan dan bantuan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat itu
sepanjang empat tahun ini.
Perdana Menteri berkata
banyak masalah tertunggak masyarakat itu telah dapat diselesaikan oleh kerajaan
termasuk memberi peruntukan besar untuk meningkatkan taraf pendidikan dan
ekonomi mereka.
"Sejak menjadi Perdana
Menteri, peruntukan untuk kaum India bertambah dengan begitu ketara
sekali...bantuan untuk sekolah Tamil antara 2009 hingga 2012 mencecah RM300
juta dan RM100 juta lagi kita tambah dalam bajet 2013," katanya ketika
berucap melancarkan Buku Tamil Karya Penulis Tempatan di Dewan Tunku Canselor,
Universiti Malaya, di sini Jumaat malam.
Beliau berkata kerajaan juga
telah dapat menyelesaikan banyak masalah masyarakat India seperti permohonan
kad pengenalan, sijil kelahiran serta taraf kewarganegaraan.
Kerajaan juga lebih prihatin
dengan mempraktikkan dasar pendekatan kepada rakyat dengan menghantar pasukan
kerajaan untuk turun padang supaya rakyat mudah berinteraksi bagi menyelesaikan
masalah mereka, katanya.
"Di bawah payung konsep
1Malaysia kita mahu pastikan semua dasar-dasar kerajaan dapat memberi faedah
kepada setiap kumpulan etnik sama ada besar mahupun kecil.
"Kita mahu membuka
lebih banyak peluang supaya setiap warga Malaysia akan dapat mencapai tahap
kejayaan yang maksima, yang cuma berbeza sama ada mahu atau tidak rajin atau
sebaliknya," katanya.
Najib juga berkata rakyat
tidak boleh memberi kepercayaan kepada pihak pembangkang yang kini nampak
bercelaru dengan pendapat masing-masing.
"Mereka ibarat tidur
sebantal tapi mimpi lain-lain. Kita tidak boleh memperjudikan masa depan kita.
Masa depan kita terlalu mahal sebenarnya untuk kita dan anak-anak kita,"
katanya.
Mengenai penerbitan buku
Tamil, Perdana Menteri turut meminta supaya Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia (ITBM) dapat membantu lebih banyak penerbitan karya Tamil supaya
khazanah budaya dan kesasteraan India dipelihara untuk generasi akan datang.
Beliau berkata dalam
menghadapi fenomena 'localisation' di mana setiap kumpulan etnik mahu
mengekalkan jati diri dan identiti masing-masing, masyarakat India tidak
terkecuali dalam usaha untuk memelihara warisan dan budaya mereka.
Bagaimanapun, Najib berkata
ini tidak bererti masyarakat India tidak mahu terlibat dalam pembentukan
masyarakat Malaysia atau menyumbang kepada perpaduan.
"Saya di sini untuk
beri sokongan kepada usaha Parti Makkal Sakti dan Universiti Malaya kerana saya
faham usaha seperti ini dekat di hati masyarakat Tamil.
"Saya percaya program
ini dapat memberikan Putiya Nambikkai (Harapan Baru) dalam mengorak langkah
penulis Tamil di Malaysia," katanya.
Pada majlis itu, Najib
melancarkan 10 buku Tamil yang dihasilkan oleh penulis tempatan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment