Wednesday 7 November 2012

ROS PERLU MENGETAHUI HAD KUASANYA





Oleh : NOMY NOZWIR

KUALA LUMPUR : Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) perlu mengetahui had kuasanya memandangkan mereka telah menghantar notis Seksyen 111 kepada orang yang bukan dalam badan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), menurut Pengarah Eksekutifnya, Nalini Elumalai.

“Suaram mengkritik tindakan RoS kerana menghantar notis kepada pengarah eksekutif EMPOWER, Maria Chin Abdullah; Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee (gambar); Peguam Syahredzan Johan, dan dua ahli parlimen, Tian Chua (Batu) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara) pada 5 November yang lalu.

“RoS juga telah menghantar notis kepada Setiausaha Agung, Arutchelvan, tetapi notis yang dihantar kepadanya belum lagi sampai dan pegawai dari RoS memberitahu beliau bahawa notis akan tiba.

“Untuk rekod, Suara Inisiatif Sdn Bhd adalah syarikat berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965 dan bukannya di bawah RoS.

“Dalam Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, jelas sekali membezakan 'pertubuhan', yang mengecualikan “mana-mana syarikat berdaftar di bawah undang-undang,” kata Nalini dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dan Ahli Parlimen PKR, Chua Tian Chang, yang dikenali sebagai Tian Chua.

Menurut Pua, RoS tidak seharusnya menyiasat Suara Inisiatif hanya kerana syarikat mereka mendapat keuntungan yang rendah.

“Tidak ada salahnya untuk mempunyai syarikat yang tidak mempunyai keuntungan,” kata Pua lagi.

“Tidak ada peruntukan undang-undang untuk sebuah pertubuhan seperti SUARAM mempunyai sebuah syarikat.”

Sementara itu, Pengarah Eksekutif EMPOWER, Maria Chin Abdullah, berkata, laporan polis tersebut dibuat di Muar, Johor.

“Saya jelas sekali tidak ada hubung kait, jadi kenapa saya harus dipanggil?” kata Maria lagi.

Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberitahu Parlimen bahawa Jabatan Peguam Negara telah  menunggu kertas siasatan dari RoS sebelum mengenakan sebarang dakwaan ke atas SUARAM dan syarikat yang berhubung kait dengannya, Suara Inisiatif Sdn Bhd.

Beliau berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menamatkan siasatan ke atas Suara Inisiatif, tetapi Jabatan Peguam Negara masih belum membuat sebarang dakwaan lagi.

No comments:

Post a Comment