Tuesday 20 November 2012

SELEPAS RCI, NAJIB KENA UMUM PATI VALI?





Oleh : MUTALIB M.D

SEMALAM, saya telah disiasat oleh DSP Ahmad Asmadi Hj Muhammat Salim dari Pasukan Siasatan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) selama lebih kurang 3 jam 14 minit yang di Bilik 405, Hotel Grand Pacific, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur di bawah Seksyen 16 (2) (a) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Siasatan berkenaan diperlukan bagi membolehkan Panel RCI membuat keputusan sama ada saya perlu dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan di hadapan Panel RCI yang akan mengadakan sidang pertama pada 14 Januari 2013 di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Untuk makluman rakyat Sabah, saya dijemput untuk memberi kenyataan awal kepada Panel Siasatan RCI kerana saya telah menulis empat buah buku berkaitan kerakyatan songsang iaitu IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir (?) dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir; serta peranan saya sebagai Penulis Blog IC Palsu dan Pengendali Portal Sabahkini.net; yang sering mendedahkan isu PATI dan kerakyatan songsang.

Menurut peruntukan Seksyen 16 (2) (a) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 memberikuasa kepada Pendakwa Raya untuk membantu Pesuruhjaya;

16. (2) (a) Mana-mana orang yang dilantik oleh Pendakwa Raya untuk menyiasat apa-apa perkara itu hendaklah, bagi maksud penyiasatan itu, mempunyai segala kuasa berhubung dengan penyiasatan polis yang diberikan kepada pegawai polis dalam mana-mana kes boleh ditangkap di bawah Bab XIII Kanun Tatacara Suruhanjaya Siasatan 13 Jenayah [Akta 593], dan boleh, apabila diberi kuasa secara bertulis oleh Pendakwa Raya, menggeledah mana-mana premis dan mengambil milik apa-apa artikel atau dokumen yang dinyatakan dalam surat kuasa itu.




Saya telah diminta untuk memberi keterangan oleh Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing Di Sabah (SSPA) telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui peruntukkan Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan telah disiarkan di dalam Warta Kerajaan Persekutuan Bil. P.U.(B) 300 bertarikh 21 September 2012. Suruhanjaya berkenaan dikehendaki menyediakan laporan siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh masa selama enam bulan melalui surat SSPA/S/000105/2012 bertarikh 19 November 2012 yang ditandatangani oleh SUPT Mohd Azman Bin Ahmad Sapri, Ketua Pasukan Siasatan, Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing Di Sabah.

Sepanjang tempoh siasatan selama 3 jam 14 minit, saya telah mendedahkan segala maklumat yang diperlukan, yang saya fikir dapat membantu Panel RCI menjalankan siasatan, termasuk mengesyorkan Panel RCI membaca kesemua buku saya berhubung isu berkenaan dan menganalisa fakta yang dipaparkan dalam blog IC Palsu, Videoklip dan Portal Sabahkini.net.





Walaupun terdapat Akta Perlindungan Saksi, namun saya tidak memerlukan akta berkenaan, termasuk jika dipanggil memberi keterangan dalan prosiding di mahkamah terbuka kerana pada 1999 saya telah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam Petisyen Pilihanraya Keil DUN Likas; apatah lagi buku saya sudah beredar di pasaran sejak 1999 lagi.

Namun ramai responden saya mungkin memerlukan Akta berkenaan kerana kebanyakan mereka terpaksa menyembunyikan diri setelah kenyataan mereka tersiar dalam buku dan portal Sabahkini.net; akibat mengalami ancaman maut dan deraan mental.

Kebimbangan mereka tambah meledak selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya di Kamar Hakim pada 25 November 2009 mengesahkan bahawa Warganegara Pakistan, Salman Bin Najid, yang ditahan di Depoh Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selama 199 hari dalam proses untuk dihantar balik ke Pakistan adalah Wargnegara Malaysia dan membatalkan perintah penghantaran balik beliau ke Pakistan; termasuk gantirugi RM1 juta yang didakwa hilang daripada bank semasa beliau dalam tahanan Imigresen.

Kejayaan permohonan Habeas corpus Salman Najid telah menjadi mercutanda kehakiman bahawa tidak ada lagi pintu keluar untuk menghukum PATI yang mendapat kerakyatan songsang menyebabkan ramai saksi bimbang PATI yang mereka dakwa selama ini akan menyaman mereka setelah kes Salman Najid menjadi 'Precedence' dan PATI pertama yang 'KEBAL' daripada tindakan undang-undang Imigresen yang terlalu banyak 'loopholes'.

Dalam dakwaannya yang difailkan pada 25 Mac 2009, Salman mendakwa bahawa beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12 Mac 2005 dan pasportnya dirampas oleh Pegawai Imigresen yang bertugas mengikut Akta Imigresen 1956.

Salman turut menyatakan bahawa beliau memiliki bukti dokumen sah yang menunjukkan bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan berhak untuk mendapat penghakiman sebelum dihantar balik; dan tindakan Pegawai Imigresen merampas pasport beliau adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Salman berkata bahawa beliau gembira selepas tinggal di Malaysia selama lebih 20 tahun, apatah lagi tiga daripada enam anaknya lahir di Malaysia. Oleh itu beliau berharap agar pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan rapi terhadap mereka yang menganiaya beliau sehingga mengalami kerugian dalam perniagaan dan mengalami layanan buruk pihak Imigresen.





Ketika prosiding mahkamah, Salman mengaku bahawa beliau dilahirkan di Pakistan dan menetap di Malaysia sejak 1985 dan mendapat kerakyatan Malaysia secara sah.

Berikut sebahagian daripada sedutan Nota Prosiding Mahkamah;

Pendakwaraya : Adakah anda dilahirkan di Malaysia?
Salman : Tidak. Saya dilahirkan di Pakistan.
Pendakwaraya : Sejak bilakah anda menetap di Malaysia?
Salman : Sejak 1985
Pendakwaraya : Kenapa anda datang ke Malaysia pada masa tersebut?
Salman : Pada masa tersebut, saya mendapat maklumat daripada rakan senegara yang menjalankan perniagaan mereka di Malaysia bahawa negeri Sabah sedang mengeluarkan kad pengenalan keada warga asing yang ingin menjadi warganegara Malaysia. Oleh yang demikian, saya telah pergi ke Sabah untuk mencuba nasib bagi mendapatkan kad pengenalan.

Pendakwaraya : Adakah awak dimaklumkan tentang syarat-syarat yang dikenakan untuk memperolehi kad pengenalan tersebut?

Salman : Saya telahpun dimaklumkan bahawa syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa di sabah bagi mendapatkan kad pengenalan adalah bahawa seseorang mesti berumur 25 tahun ke atas dan beragama Islam dan memandangkan saya memenuhi syarat-syarat tersebut, saya diperlukan mengikrarkan satu surat akuan dengan menurunkan cap jari saya.

Pendakwaraya : Adakah awak mengikrarkan surat akuan tersebut?
Salman : Ya

Pendakwaraya : Adakah anda dikeluarkan kad pengenalan dan didaftarkan sebagai warganegara Malaysia selaras dengan permohonan anda tersebut?
Salman : Ya. Jabatan Pendaftaran Negara Sabah telahpun mengeluarkan kad pengenalan kepada saya selaras dengan permohonan saya tersebut dan mendaftarkan saya sebagai warganegara Malaysia.

Pendakwaraya : Pada masa awak mula datang ke negara ini, adakah awak dijanji kewarganegaraan Malaysia atas apa-apa syarat?
Salman : Ya, saya dijanjikan kewarganegaraan Malaysia atas syarat saya menyokong pihak Barisan Nasional di dalam pengundian pilihanraya tempatan.

Pendakwaraya : Setakat pengetahuan anda, adakah terdapatnya orang lain seperti anda yang diberi janji yang sama?
Salman : Ya, terdapat lebih kurang 400,000 orang lain termasuk warga Pakistan, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan lain-lain yang dijanji kewarganegaraan Malaysia atas dasar yang sama.

Walaupun Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Mohamed Abdul Halim Muhammad dalam satu kenyataan ringkas berkata kad pengenalan yang dimiliki Salman Salman Majid H0352141 (620202-12-5053) telah dibatalkan pada tahun 2001 setelah dia didapati mengemukakan maklumat palsu untuk memperolehinya, namun perintah mahkamah telah menjadi sebaliknya.

Dalam perjuangannya di mahkamah, Salman yang menggunakan Sijil Akuan Palsu bahawa beliau dilahirkan di Ranau pada 1962 dibela oleh Karpal Singh dan Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh telah prihatin tampil sebagai saksinya sehingga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengiktiraf beliau sebagai Warganegara Malaysia yang sah pada 24 November 2009.

"Saya telah menganggap diri saya sebagai rakyat Malaysia sejak 24 tahun lalu dan telah menjadi pengundi setia sejak tiga pilihanraya umum lalu," kata Salman dengan bangga.

Kini, 3.7 juta PATI yang mendapat kerakyatan songsang di Malaysia menganggap Salman sebagai 'MAHARAJ' kerana tidak ada lagi undang-undang yang boleh menyentuh mereka dan menganggap RCI hanyalah 'Majlis Pemasyhuran' mereka sebagai Rakyat Malaysia secara mutlak, sekalipun Datu Akjan Datuk Ali Mohammad tidak diiktiraf sebagai Sultan Sulu!

Oleh itu, selepas RCI membentangkan laporannya, Perdana Menteri bolehlah mengumumkan satu lagi hari cuti umum selepas mengisytiharkan Deepavali sebagai Hari Cuti Umum bagi Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Hari 'PATI VALI' sempena hari perayaan khusus untuk PATI yang mendapat kerakyatan songsang!

No comments:

Post a Comment