TUN DR MAHATHIR Mohamad
nampak relaks sahaja berdepan dengan gembar gembur pembangkang yang melabel
beliau adalah 'pengkhianat' kerana meluluskan kerakyatan kepada pendatang asing
di Sabah semasa era pentabirannya dulu.
Bekas Perdana Menteri itu
tanpa apologetik mengakui peranan kerajaan pimpinannya dulu tetapi menegaskan
semua kelulusan berhubung pemberian kerakyatan tersebut dibuat berdasarkan
peruntukan undang-undang.
Dalam sidang media selepas
wacana di Karang Kraf Shah Alam pada petang Khamis, Dr Mahathir berkata
pembangkang boleh tuduh beliau apa saja termasuk pengkhianat tetapi semua yang
dilakukan berdasarkan undang-undang.
"Itu tak jadi masalah
kerana dituduh (pengkhianat) oleh ramai orang. Tapi ada juga yang puji,"
ujar beliau.
Beliau berkata demikian
ketika mengulas mengenai dakwaan bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN) Sabah, Ramli Kamarudin bahawa kerajaan pada ketika itu terlibat
memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing (beragama Islam) di Sabah.
Ramli ketika menjadi saksi
kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) berkenaan pendatang asing di Sabah mendakwa
menerima arahan daripada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat
Junid Megat Ayub agar mengeluarkan resit bagi membenarkan pendatang asing di
Sabah mengundi pada pilihan raya negeri itu pada 1994.
Menurut Dr Mahathir,
Malaysia sentiasa menerima orang asing untuk menjadi warga negara sekiranya
mereka memenuhi syarat-syarat tertentu.
"Ramai yang ada di
Sabah, mereka berada di situ bukan satu dua hari, satu dua tahun... ada 20, 30
tahun. Mereka ini bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka berhak untuk menjadi
rakyat. Yang menjadi masalah ialah ialah ada orang yang tidak senang kalau
mereka jadi rakyat."
"Orang ini sebelum kita
merdeka pun, mereka berulang alik daripada selatan Filipina ke Sabah kerana
mereka tidak terima sempadan yang digaris oleh penjajah.
"Seperti juga di
Sumatera dan Semenanjung. Kita terima sesiapa yang ada di sini sebagai rakyat,
kenapa kita nak tolak mereka? Kalau mereka lakukan jenayah, mereka terdedah
kepada undang-undang kita juga. Tetapi mereka diperlukan oleh Sabah."
Walau diasak bertalu-talu
oleh wartawan, Dr Mahathir relaks jawab satu persatu persoalan yang
dilontarkan.
Bahkan di satu peringkat,
beliau memulangkan 'paku buah keras' kepada soalan seorang wartawan pro
pembangkang yang mempersoalkan kenapa beliau beri kerakyatan kepada pendatang
Islam warga asing di Sabah.
"Tunku Abdul Rahman
lebih teruk dari saya, dia bagi kerakyatan kepada satu juta orang dahulu tanpa
pemeriksaan teliti. Saya tidak nafikan pembabitan saya (di Sabah) tapi Tunku
beri satu juta kerakyatan di Semenanjung selepas merdeka tiada siapa
pertikai...," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan
bahawa kerajaan pimpinannya sengaja memberikan status kerakyatan kepada
pendatang asing sebelum pilihan raya Sabah pada 1994 agar kumpulan berkenaan
mengundi menyokong kerajaan, Dr Mahathir berkata ia mungkin berlaku secara
kebetulan.
"Ia mungkin dilakukan
sebelum pilihan raya negeri, tapi ia sama ada secara tak sengaja atau
dirancang...saya tak pasti.
"Tapi ia dibuat
berdasarkan peruntukan undang-undang. Jika ia berlaku sebelum pilihan raya
(negeri), ia tak bermakna bertentangan dengan undang-undang," katanya.
Berhubung sama pemberian
status warga negara kepada pendatang asing di Sabah merupakan alasan politik
agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di negeri itu, Dr Mahathir
berkata: "Tidak ... ini adalah hak mereka (mendapat kerakyatan bagi yang
layak).
"Bila mereka menjadi
warga negara, sama ada mereka sokong Umno, BN atau siapa sahaja, itu hak
mereka. Ia adalah fakta bahawa bukan semua mereka menjadi penyokong BN,"
katanya.
Beliau bahkan turut
mengatakan kesediaannya untuk menjadi saksi kepada Suruhanjaya Diraja tersebut
jika keterangan beliau diperlukan.
"Jika mereka minta saya
hadir, saya akan pergi," ujarnya. (The Unspinner)
No comments:
Post a Comment