KOTA KINABALU : Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah hari
ini diberitahu 446,219 pendatang tanpa izin di negeri ini telah diusir antara
1990 sehingga semalam.
Pengarah Pasukan Petugas
Khas Persekutuan Sabah dan Labuan, Datuk Suhaimi Mohd Salleh berkata mereka
terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan lain-lain warganegara.
Saksi kelima yang dipanggil
semula memberi keterangan pada prosiding hari keenam itu berkata pada Januari
tahun ini sahaja, 870 pendatang tanpa izin telah diusir ke negara
masing-masing.
Kepada soalan pegawai
pengendali Manoj Kurup, saksi itu berkata sehingga semalam 3,741 pendatang
tanpa izin dari Filipina, Indonesia dan lain-lain warganegara telah ditahan di
tiga buah Pusat Tahanan Sementara (PTS) di bawah seliaan Pasukan Petugas Khas
itu.
Beliau berkata 1,899
pendatang tanpa izin ditahan di PTS Papar, PTS Sibuga (683) dan 1,159 di PTS
Tawau. Suhami juga berkata pasukan itu membelanjakan RM72 juta bagi menjalankan
aktiviti di skim-skim penempatan di negeri ini sejak 1990 hingga sekarang.
Saksi itu juga diminta
menjelaskan peranan Pasukan Petugas Khas itu antaranya bertanggungjawab ke atas
pendaftaran pendatang luar negeri di Sabah dan Labuan.
Beliau juga berkata pasukan
itu juga mempunyai kuasa untuk menangkap dan menahan pendatang tanpa izin yang
tidak mempunyai sebarang dokumen manakala pengusiran dilakukan oleh Jabatan
Imigresen.
Katanya pasukan itu juga
terlibat dalam memberikan dokumen iaitu sijil banci kepada pelarian Filipina di
skim penempatan, yang datang ke Sabah kerana peperangan di negara mereka.
Beliau berkata pelarian yang
diberikan sijil banci ini mesti memegangnya pada setiap masa dan ia boleh
digunakan untuk memohon kad IMM-13 iaitu dokumen sementara.
Seorang warga Pakistan
Parvez Khan Hussein Khan dalam keterangannya berkata beliau ada membayar RM330
kepada seorang kawannya yang bernama 'Ikram', yang didakwanya telah meninggal
dunia, bagi mendapatkan kad pengenalan (IC).
Parvez yang datang ke Sabah
pada 1992 dan berkahwin dengan rakyat Sabah bersetuju bahawa IC birunya itu
mempunyai masalah kerana dia memperolehnya dari 'Ikram' bukannya dari JPN.Saksi
ke-31 Nur Mohd Ibrahim, yang lahir di Tamil Nadu, India, dalam keterangannya
berkata beliau membuat sendiri permohonan bagi mendapatkan IC tanpa pertolongan
mana-mana pihak.
Nur Mohd yang datang ke
Sabah pada 25 Mac 1981 berkata selepas enam tahun tinggal di negeri itu pada
1987 beliau memperoleh IC biru selepas dua kali memohon dengan sokongan surat
akuan sumpah tetapi tidak ingat siapa yang menandatanganinya.
Saksi ke-32, Sofian Mohamat,
yang berbangsa Kadazan pula memberitahu bahawa ada seorang Pakistan memintanya
membayar RM1,000 bagi mendapatkan sijil lahir untuk tiga anaknya.
Sofian yang berkahwin dengan
warga Islam Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu
berkata, dia membayar wang itu tetapi dia tidak diberikan sijil lahir.
Beliau berkata anaknya tidak
mempunyai sijil lahir kerana beliau tidak mendaftarkan perkahwinannya dengan
Majlis Agama Islam Sabah, selain isterinya tidak mempunyai sebarang dokumen.
Sementara itu DSP Badaruddin
Ismail, bekas pegawai cawangan khas, Bukit Aman yang menemuduga bekas Ketua
Pengarah JPN Sabah, Ramli Kamarudin, berkata Ramli memberitahunya motif dia
mengeluarkan resit permohonan IC baru dan hilang adalah untuk kepentingan
dirinya.
“Menurut pendedahan beliau
(Ramli) wang itu untuk dia sendiri, yang saya masih ingat setiap resit yang
dikeluarkan beliau, beliau dapat RM250 bagi setiap resit. Motifnya untuk
keuntungan diri sendiri untuk dapat duit,” katanya.
Badaruddin yang kini
bertugas sebagai pegawai turus, di cawangan khas, Ibupejabat Polis Kelantan
sejak 2009 berkata jumlah keuntungan yang diperoleh Ramli yang ditahan mengikut
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah lebih daripada RM 1 juta.
Saksi itu berkata semasa
menemuduga Ramli berhubung pengeluaran IC itu pada tahun 1996, Ramli
mendedahkan kepadanya bahawa dia telah mengeluarkan 16,000 resit sementara itu
kepada pendatang tanpa izin Filipina, India, Pakistan dan sebagainya. (Umno
online).
No comments:
Post a Comment