TAWAU : Kawasan Hutan Simpan
Gunung Rara yang terletak kira-kira 130 kilometer dari sini bukan lagi menjadi
tempat perlindungan yang selamat bagi gajah pigmy atau Gajah Kerdil Borneo
apabila 10 ekor haiwan spesies yang dilindungi itu ditemui mati dipercayai
diracun dalam tempoh dua minggu lalu.
Kesemua gajah yang ditemui
mati itu dipercayai daripada satu keluarga membabitkan tujuh betina dan tiga
jantan berusia dari empat hingga 20 tahun.
Pihak berkuasa tidak menolak
kemungkinan kesemua gajah tersebut menjadi mangsa kekejaman manusia termasuk
siasatan terhadap penggunaan racun tikus.
Teori racun tikus itu timbul
selepas kes tujuh ekor gajah pigmy ditemui mati akibat termakan bahan berbahaya
itu di Rizah Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu kira-kira 10 tahun lalu.
Pengarah Jabatan Hidupan
Liar Sabah, Datuk Dr. Laurentius Ambu ketika dihubungi semalam menceritakan,
misteri kematian haiwan itu dilaporkan pada 23 Januari lalu selepas empat
bangkai gajah ditemui di sepanjang jalan pembalakan Telupid di kawasan hutan simpan
berkenaan.
Kawasan penemuan bangkai itu
pula terletak kira-kira lima kilometer dari kem pembalakan Empayar Kejora Sdn.
Bhd, sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.
“Sepasukan anggota dari
Jabatan Hidupan Liar telah menyiasat di lokasi tersebut sebelum menemui empat
lagi bangkai gajah dua hari kemudian,” katanya.
Awal bulan ini, kakitangan
jabatan itu menemui dua bangkai gajah di kawasan berkenaan dan menjadikan
keseluruhan bangkai yang ditemui ialah 10 ekor.
Beliau juga mengesahkan
siasatan awal mendapati kesemua gajah tersebut mati akibat termakan racun.
Sesuatu yang menyayat hati
bagi pakar veterinar, Dr Sen Nathan apabila melihat seekor anak gajah pigmi
Borneo cuba menggerakkan ibunya yang sudah mati di Hutan Simpan Gunung Rara,
Tawau di Sabah.
Pakar veterinar Jabatan
Hidupan Liar Sabah itu menyaksikan sendiri detik berkenaan ketika melakukan
siasatan berhubung misteri kematian sepuluh ekor gajah terdiri daripada tujuh
gajah betina dan tiga gajah jantan di Unit Pengurusan Hutan (FMU) 23, kawasan konsesi
Yayasan Sabah di hutan simpan berkenaan iaitu kira-kira 130 kilometer dari
Tawau.
“Saya berasa sangat sedih,
tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan saya,” katanya, sambil menambah
bahawa anak gajah jantan berusia tiga bulan bernama Kejora itu telah dihantar
ke Zoo Hidupan Liar Lok Kawi untuk dijaga termasuk bagi memberi susu botol.
Sepuluh ekor gajah berumur
antara empat hingga 20 tahun ditemui mati antara 29 Disember dan 24 Januari
lalu di kawasan Lembah Danum dan Lembangan Maliau.
Pengarah Jabatan Hidupan
Liar Sabah, Datuk Dr Laurentius Ambu berkata keracunan mungkin punca utama
kematian gajah berkenaan.
“Post mortem yang dilakukan
mendapati tiada kesan kecederaan akibat tembakan sebaliknya bahagian organ
dalaman gajah-gajah berkenaan rosak teruk. Selain bahagian usus, mulut dan anus
mereka turut didapati berdarah.
“Kami mengesyaki terdapat
unsur keracunan daripada bahan makanan yang mereka makan (toksin semulajadi
atau racun perosak) tetapi kita masih menunggu laporan makmal analisis kimia,”
kata Dr Ambu.
Menurut Ambu, laporan
pertama diterima pada Selasa ketika pegawai Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)
menjalankan kajian hidupan liar dimaklumkan oleh seorang pekerja mengenai
kematian gajah kira-kira 5 kilometer dari pintu Syarikat Empayar Kejora Sdn Bhd
iaitu sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.
Katanya gajah berkenaan
mungkin termakan racun di tempat lain dan berjalan beberapa kilometer sebelum
rebah di kawasan berhampiran Empayar Kejora.
“Kami percaya bahawa
kematian semua gajah ini ada kaitan antara satu sama lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment