Monday, 28 January 2013

JANGAN ABAI PENDIDIKAN ANAK-ANAK







REPLIKA...Dato Sri Nasir (tiga kiri) disaksikan Pengetua SMK Tagasan, Choo Kok Kin (empat kiri) dan Wakil PPD Semporna, Ahmad Hj Sapie (tiga kanan) sempena majlis itu di Semporna.

Oleh : ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA: Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Haji Nasir Tun (Dr.) Sakaran,meminta golongan ibubapa tidak berlepas tangan untuk memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan yang sewajarnya samada di sekolah mahupun semasa di rumah.

Katanya, peranan ibubapa dan guru perlu seiring serta lebih proaktif memantau, mengasuh, mendidik dan membimbing pelajar dan anak-anak mereka menjadi seorang warganegara yang berpendidikan serta berwawasan.

Nasir berkata demikian sempena merasmikan majlis penyampaian Bantuan Khas Persekolahan 2013 kepada pelajar-pelajar SMK Tagasan dekat sini.

Hadirsama sempena majlis itu Pengetua SMK Tagasan,Choo Kok Kin; Wakil PPD Semporna,Ahmad Haji Sapie; Pengerusi PIBg,Haji Buldahim; Pemimpin UPKR Dun Senallang, Haji Tahir Amir dan Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabaani.

Nasir berkata, Negara memerlukan rakyat yang berilmu serta berpendidikan sebagai pemangkin kepada penerus kepimpinan masa depan Negara yang berkualiti serta mampu bersaing di peringkat global.

Sehubungan itu, ibubapa seharusnya tidak alpa membiarkan anak-anak mereka hanya menerima pendidikan di sekolah semata-mata, sebaliknya hendaklah sentiasa memantau anak-anak semasa berada di rumah.

Selain itu katanya, mereka juga perlu memanfaatkan bantuan pendidikan yang diberikan kepada pelajar untuk keperluan persekolahan.

Nasir menegaskan, kerajaan sentiasa prihatin memeduli kepentingan rakyatnya dengan menyalurkan pelbagai bantuan berlandaskan konsep 1Malaysia yakni mendahulukan kepentingan rakyat serta mengutamakan pencapaian.

Dato Sri Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, meminta rakyat terus mengukuhkan perpaduan dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan.

Menurut Nasir, tanpa perpaduan dan keamanan serta kemakmuran mustahil pelbagai nikmat pembangunan mampu dicapai seperti apa yang dinikmati sejak kerajaan Barisan Nasional memerintah Negara ini.

Sempena majlis itu lebih seribu orang pelajar menerima Bantuan Khas Pendidikan berjumlah RM100 setiap pelajar.

No comments:

Post a Comment