Monday 28 January 2013

PERKASA DIGESA JANGAN CETUS SENGKETA






LAPOR...Mutang (kanan) bersama Chin membuat laporan Polis di Balai Polis Tenom.
         
Oleh : JACOB BALANG

TENOM: Satu lagi laporan Polis dibuat ke atas Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) oleh Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Sabah berhubung isu membakar Bible versi Bahasa Melayu sepertimana hangat dilaporkan di dalam pelbagai media baru-baru ini.

Laporan itu dibuat untuk meminta pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat kesahihan laporan itu dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan mengikut lunas undang undang yang sedia ada.

Ketua Penerangan Parti Kita, Mutang Dawat @ Sylvester yang ditemani Bendaharinya N.F Chin membuat laporan itu di Balai Polis di sini pada Sabtu tepat jam 9 pagi kelmarin berkata;

“Disebabkan perkara sensitif ini sudah terlalu banyak diketengahkan oleh pihak pihak tertentu, jadi, kita mahu pihak berkuasa menyiasatnya dan mengambil langkah langkah mencegahnya dari terus menular kepada masyarakat.

“Kemajmukan rakyat di Negara ini dengan anutan agama yang berbeza beza, sepatutnya perkara sensitif yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian tidak harus ditimbulkan mahupun diperbesarkan secara terbuka (Sebaliknya)...banyak saluran boleh digunakan untuk landasan penyelesaian perkara ini...kenapa pilih cara begini?,” tegas Mutang.

Sehubungan itu, Mutang yang juga bekas pemimpin Gereja SIB sebelum menceburkan diri dalam politik berkata, sesungguhnya kenyataan Presiden Perkasa Dato' Ibrahim Ali yang meminta supaya Bible versi Bahasa Malaysia yang ada Kalimah 'Allah' dibakar, seelok-eloknya tidak buat secara terbuka tetapi ia lebih baik disuarakan menerusi saluran yang betul.

Sambil menyingkap pepatah Melayu yang berbunyi “ Kalau menarik rambut dalam tepung, pastikan tepung tidak berselerak dan rambut pula tidak putus”, kata Mutang.

Pada Januari 21, 2013, Mutang dalam kenyataannya berhubung perkara tersebut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Presiden Perkasa itu supaya tidaK lagi membuat kenyataan berulang-ulang dilakukannya demi menjaga perasaan dan sensitiviti penganut penganut Keristian di Negara ini.

No comments:

Post a Comment