Tuesday 29 January 2013

WASATIYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH






MERIAH ... Musa (tengah) diiringi Hamsan bersalaman dengan salah seorang ketua kontinjen sebelum berarak mengelilingi pusat bandar dan berakhir di Dewan Masyarakat Sandakan.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN : Lebih 15,000 masyarakat Islam sekitar bandar ini mengambil bahagian pada satu Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Sandakan 1434H / 2013M yang berlangsung meriah di Padang Bandaran Sandakan, kelmarin.

Sebanyak 60 buah kontinjen yang masing-masing membawa sepanduk telah berarak sejauh dua kilometer mengelilingi bandar bermula dari Padang Bandaran dan berakhir di Dewan Masyarakat yang menyaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman mengetuai perarakan diiiringi 'Selawat Nabi'.

Terdahulu daripad itu, Musa sewaktu berucap menyempurnakan majlis memberitahu bahawa sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun bukan sahaja memberi ruang kepada ummah untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW; malahan menjadi wadah untuk memperkukuhkan lagi ikatan ukhuwah perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Ini katanya, semangat ukhuwah adalah penting dan perlu sentiasa dijiwai sekali gus disemarakkan setiap lapisan masyarakat ke arah mewujudkan suasana yang lebih aman serta harmoni demi mencapai kemajuan yang bermakna dalam pelbagai aspek kehidupan.

"Selaras dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu 'Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah' ... marilah kita sama-sama mengamalkan pendekatan kesederhanaan atau 'Wasatiyyah' dalam setiap tindakan.

"Jika kita menyingkap kembali sirah Nabi Muhammad menerusi pendekatan wassatiyah, Baginda telah dapat membawa Madinah menjadi sebuah negara Islam yang unggul dan terkenal," jelasnya.

Musa berkata dalam konteks Kerajaan Negeri, pihaknya bersyukur kerana mempunyai kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang memperkenalkan konsep tersebut di dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

Menurut beliau, sikap kesederhanaan ini hendaklah diterjemahkan secara positif terutamanya dalam meletakkan kedudukan umat Islam dalam dunia global, teknologi dan ilmu termasuk persaingan ekonomi dan juga membina tamadun ke arah misi Islam itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau berkata umat Islam di negeri ini harus mencontohi peribadi Nabi Muhammad demi melakar kejayaan yang lebih besar dan bermakna terhadap perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya, katanya, sifat-sifat mulia yang ada pada Baginda mampu mendorong ummah menjadi umat wassatiyah yang akan beroleh kejayaan dunia dan akhirat.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Haji Mohd Hamsan Awang Supain pula menegaskan ke arah melahirkan generasi Islam yang lebih berkualiti dari segi disiplin dan akhlak mulia, maka gerakan memperkasa dakwah Islamiah wassatiyah perlu diperhebatkan.

Menurutnya, para ilmuan Islam perlu tampil membawa gagasan pemikiran yang kritis, membina, ikhlas, jujur dan istiqamah berdasarkan keperluan realiti tetapi tetap berpaksikan kepada wahyu dan assunnah.

"Tetapi bukannya ditafsir atau diolah mengikut rentak idealogi dan warna perjuangan mereka," jelas beliau.

Katanya, apa yang patut dilakukan oleh cendekiawan muslim kini ialah menghurai, melengkap dan menyempurnakan sebagai usaha pemulihan, penambahbaikan dan peningkatan ke arah mencipta hasil karya yang bermutu untuk faedah ummah.

Dalam pada itu, Hamsan yang mewakili segenap masyarakat Islam baik di daerah Sandakan mahupun di seluruh negeri ingin merakamkan terima kasih dan syukur terhadap kepimpinan Musa yang sentiasa prihatin kepada keperluan dan keselesaan tempat beribadat umat Islam.

"Ini dapat kita lihat sendiri khususnya di Sandakan dengan pembinaan masjid-masjid, surau-surau dan sekolah-sekolah agama yang telah banyak didirikan manakala yang sedia ada yang berkeadaan usang juga mendapat perhatian serius untuk dibaik-pulih," ujarnya.

Hadir sama pemimpin politik veteran Sabah yang juga Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris; Adun Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri serta persekutuan termasuk pemimpin masyarakat setempat.

No comments:

Post a Comment