Wednesday, 30 January 2013

PAIRIN SERU HENTIKAN PERPECAHAN





MESRA … Pairin disambut rakyat di Kg.Nambayan beliau juga disukai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Oleh : ROZIE JUMAT
                            
TAMBUNAN :  Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyeru rakyat khususnya masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) kembali bersatu dan menghentikan perpecahan yang merugikan bangsa itu dan masa depan generasi akan datang, sebaliknya bersatu memperjuangkan aspirasi bersama.


Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah berkata, kepimpinan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak lebih bersikap terbuka, menerima idea, pandangan dan teguran yang membawa kebaikan kepada rakyat di negeri Sabah.


Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), parti kedua terbesar BN di negeri Sabah berkata demikian ketika merasmikan Program Dialog dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Mukim Nambayan di Dewan Kg.Nambayan disini.


“Kita bawa komen, teguran dan cadangan  yang diterima dengan baik oleh kerajaan dan diambil perhatian atas kesedaran dan kecintaan terhadap rakyat di negeri kita. Kita melihat keikhlasan pucuk pimpinan yang menubuhkan Suruhanjaya diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin, isu yang diperjuangkan sejak sekian lama.


Ini menggambarkan bahawa pucuk pimpinan kerajaan Negeri dan Persekutuan benar-benar ambil berat apa yang disampaikan oleh rakyat di negeri ini, ujar Pairin.


Bahkan kata Pairin, Perdana Menteri juga telah meluluskan Kolej KDM yang bakal dilancarkan tidak lama lagi menggunakan kampus sementara di Tambunan.


 “Mengikut pengalaman saya sepanjang dalam politik selama ini tidak ada PM seperti Najib yang benar-benar membawa perubahan. Kita yakin kepada PM dan Ketua Menteri yang seiringan membawa kita ke arah yang lebih baik, kita bantu mereka untuk kepentingan rakyat di Sabah,” kata Pairin.


Oleh itu kata Pairin rakyat tidak seharusnya ragu-ragu dengan perjuangan parti itu yang tidak pernah berubah sejak mula ditubuhkan sehingga kini.


“Kita perlu fikirkan masa depan kita, hulurkan kerjasama dan marilah kita  bersatu. Hentikan perpecahan,” ujar Pairin yang juga Wakil Rakyat Tambunan.


Mengenai pilihanraya ke 13 Pairin berkata pihak pembangkang mereka isu dan berbohong kepada rakyat, termasuklah dakwaan beliau (Pairin) memberikan tanah kepada penempatan warga asing seluas 3 ribu ekar di daerah itu.


Pairin menegaskan isu itu tidak masuk akal dan satu pembohongan yang direka untuk mengelirukan rakyat.




SALAM…Pairin bersalaman dengan rakyat yang menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kg.Nambayan.

Rakyat bijak menilai dan beliau berkata, dibandingkan dengan pihak pembangkang, rakyat mengenali siapa beliau.


“Selagi saya dapat berusaha, selagi diperlukan, selagi diminta untuk memimpin saya akan bertugas bersungguh-sungguh.


Pairin turut menyeru rakyat untuk memberikan sokongan kepada BN demi kesinambungan perancangan yang memberi kebaikan.


“Kita mahu segala yang baik berterusan , perancangan yang baik tercapai demi kepentingan rakyat di Sabah dan masa depan generasi akan datang,” kata Pairin.


Hadir sama Pegawai Daerah Thomas Anggor dan ketua-ketua jabatan kerajaan yang mengambil bahagian dalam sesi dialog bersama rakyat dan memberi penjelasan antaranya mengenai isu tanah, pusat tadahan dan pembangunan di daerah berkenan. Timbalan Ketua Bahagian PBS Tambunan, Datuk Daniel Kinsik turut hadir.

No comments:

Post a Comment