Oleh : BOO SU-LYN
KOTA KINABALU : Bekas
pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjual 16,000 resit JPN dengan RM1 juta,
yang membenarkan pendatang mengundi di Sabah, Suruhanjaya Siasatan Di Raja
(RCI) berkenaan pendatang haram diberitahu hari ini.
Pegawai polis cawangan khas
(SB) DSP Badaruddin Ismail yang bekerja di Kelantan memberi keterangan hari ini
Ramli Kamaruddin menjual setiap resit dengan harga RM250 setiap satu sekitar
1993 dan 1995 kepada pendatang haram dari Filipina, India, Pakistan dan
negara-negara lain.
"Beliau (Ramli)
beritahu dia melakukan perkara tersebut kerana wang," kata Badaruddin
kepada RCI hari ini.
Badaruddin yang pernah
menyoal siasat Ramli, menegaskan Ramli memberitahunya, beliau melakukan perkara
tersebut untuk keuntungan peribadi tanpa menerima arahan daripada pihak atasan.
Ramli walau bagaimanapun,
memberitahu RCI baru-baru ini, arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, bekas
timbalan menteri dalam negeri telah memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan
resit JPN, yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan sama dengan pengundi
berdaftar, kepada pendatang.
Ramli telah memberitahu
sejumlah 200 resit JPN dikeluarkan bagi lima atau enam kerusi dewan undangan
negeri, dimana kerajaan merasakan sukar untuk menang, sebelum pilihan raya
negeri 1994.
Pilihan raya negeri 1994
menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan
undangan negeri.
Akan tetapi beberapa ahli
dewan undangan negeri (Adun) PBS melompat menyertai Barisan Nasional (BN),
tidak berapa lama selepas itu, menyebabkan kerajaan PBS jatuh.
Ramli berkata bahawa beliau
telah menggunakan sejumlah daripada RM1 juta untuk perkara-perkara peribadi dan
memberikan baki kepada pegawainya dan untuk menganjurkan festival sukan di
Pulau Pinang untuk pekerja bawahannya, menurut Badaruddin.
Pegawai SB itu menambah
bahawa Ramli mengedarkan 14,000 resit JPN kalangan pekerja bawahan untuk
dikeluarkan kepada pendatang, manakala 2,000 resit peribadi dikeluarkan oleh
Ramli kepada orang-orang tertentu.
Seorang lagi bekas pengarah
JPN bernama Datuk Abdul Rauf Sani telah menjual 6,305 kepada pendatang Filipina
dan Indonesia, termsuk kepada orang tempatan dengan RM167,300, kata ketua SB Sabah
Datuk Ibrahim Zakaria kepada RCI awal hari ini.
Ibrahim menambah, 94 orang
termasuk 24 pegawai JPN ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
dari 1994 hingga 2000 kerana mengeluarkan kad pengenalan di Sabah secara haram.
"Tidak, dia (Rauf)
tidak mengatakan dia bertindak atas arahan, tetapi dia bertindak sendiri,"
kata Ibrahim.
"Dari risikan yang saya
kumpul, ia lebih kepada untuk mendapatkan ganjaran, keuntungan," kata
Ibrahim, yang memakai sut hitam dan tali leher merah.
Ditanya jika Ibrahim percaya
bahawa Rauf telah bertindak sendiri, Ibrahim berkata: "Beliau adalah orang
pintar, berpendidikan luar negara, sangat komunikatif, mempunyai kedudukan
dalam perkhidmatan kerajaan, saya terima apa yang beliau katakan sebagai
kebenaran."
Rauf, bagaimanapun
memberitahu RCI baru-baru ini kad pengenalan biru juga dikeluarkan untuk
meningkatkan bilangan pengundi Islam di Sabah.
Beliau mengatakan sedar
bahawa pendatang di Sabah telah diajar untuk mengundi dalam pilihan raya, jika
tidak kad pengenalan mereka akan dibatalkan.
Bekas Penolong Pendaftar JPN
Sabah Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil memberi keterangan baru-baru ini 100,000 kad
pengenalan biru telah diberikan kepada pendatang Filipina, Indonesia dan
Pakistan di Sabah pada tahun 1993.
Tun Dr Mahathir Mohamad
merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh
menerajui "Projek IC", di mana kewarganegaraan didakwa diberikan
kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.
Akan tetapi bekas Ketua
Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke 1985,
menafikan kewujudan "Projek IC" tersebut.
Dr Mahathir memberitahu
sidang media baru-baru ini pendatang asing di Sabah memang menerima kerakyatan,
tetapi menegaskan ianya "mengikut undang-undang".
Inkuiri dihadapan bekas
ketua hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan bersambung hari
ini. (TMI)
No comments:
Post a Comment