RAHSIA......Anwar
tidak memberitahu kawasan yang beliau maksudkan untuk ditandinginya sebagai
alternatif kepada kerusi tradisinya.
SHAH ALAM, 24 Jan – Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan
kerusi parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuatnya semenjak pertama kali
menyertai pilihan raya pada tahun 1982 pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan
datang.
“Insya Allah, saya akan
bertanding, tetapi kemungkinan besar saya masih diminta untuk pertimbangkan
satu dua kawasan lain,” katanya dipetik dari akhbar berbahasa Melayu, Sinar
Harian.
Apabila ditanya apakah
beliau akan bertanding di kerusi parlimen Lembah Pantai yang kini disandang
oleh anaknya Nurul Izzah Anwar, beliau menafikan spekulasi itu.
“Kenapa pula Lembah Pantai?
Tiada pula saya dimaklumkan,” katanya.
Ketua Umum PKR itu bagaimanapun
tidak memberitahu kawasan yang beliau maksudkan untuk ditandinginya sebagai
alternatif kepada kerusi tradisinya Permatang Pauh.
Anwar menyertai Umno pada
tahun 1982 di atas undangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada pilihan raya tahun yang
sama, beliau buat pertama kalinya bertanding di kerusi Permatang Pauh dan
berjaya menewaskan calon PAS Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.
Pilihan raya tahun 1986 pula
menyaksikan Anwar berjaya mempertahankan kerusi tersebut selepas menewaskan
calon PAS pada ketika itu Mohamad Sabu dengan majoriti lebih kecil berbanding
sebelumnya dengan hanya mendapat 10,479 undi.
Anwar terus mempertahankan
kerusi Permatang Pauh dalam pilihan raya tahun 1990 dan 1995 sebelum dipecat
pada tahun 1998 daripada jawatan timbalan perdana menteri, menteri kewangan dan
ahli Umno oleh Dr Mahathir.
Pada pilihan raya 1999,
Anwar merengkok dalam penjara di atas pertuduhan salahguna kuasa, isterinya
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding menggantikannya dan menang
termasuklah dalam dua pilihan raya berikutnya pada tahun 2004 dan 2008.
Pada tahun 2008, Dr Wan
Azizah melepaskan kerusi tersebut untuk memberi laluan kepada Anwar untuk masuk
semula ke parlimen Malaysia sebagai Ketua Pembangkang selepas menang dalam
pertandingan tiga penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif
Shah Omar Shah dan calon AKIM Hanafi Mamat dengan majoriti 15,671 undi.
Pilihan Raya 2013 perlu
diadakan selepas mandat kerajaan tamat pada akhir April.
Ia dianggap sebagai ibu segala
pilihan raya oleh kerana buat pertama kalinya, BN akan berhadapan dengan
pembangkang kuat, Pakatan Rakyat (PR) yang kini menguasai beberapa negeri
seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
No comments:
Post a Comment