RAKYAT di Sabah jangan cepat
berputus asa jika permintaan mereka tidak terlaksana di bawah pentadbiran BN,
kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Sebaliknya, beliau berkata
rakyat di negeri ini perlu menyuarakan permintaan mereka agar kerajaan tahu dan
mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Tidak ada pemimpin di
negara ini yang tidak membantu rakyat. Kita tidak sama dengan negara lain
kerana kita menjaga rakyat sama ada diminta atau tidak," katanya pada
majlis malam mesra bersama pengundi luar kawasan Parlimen Kimanis di Kota
Kinabalu malam tadi.
Anifah, yang juga anggota
Parlimen Kimanis meminta rakyat di Sabah supaya jangan mendengar hasutan dan
janji kosong pembangkang.
Katanya apa yang dirancang
pembangkang, termasuk 20 peratus royalti minyak yang dijanjikan, tidak mampu
menjadi kenyataan dan boleh membankrapkan negara.
Bagaimanapun, beliau kesal
terdapat rakyat, khususnya di luar bandar, yang percaya dengan kata-kata
pembangkang.
"Sekarang kita dapat
lima peratus royalti minyak. Tetapi bila dicampurkan dengan pelbagai bantuan
yang kerajaan beri sudah melebihi 20 peratus yang diharapkan," jelasnya.
Pada majlis itu, Anifah
mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk membantu rakyat di Kimanis dari aspek
kesihatan.
Beliau turut mengumumkan
RM50,000 lagi untuk membantu persekolahan anak-anak pengundi luar yang mengundi
di Kimanis tetapi tinggal di luar daerah itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment