KERAJAAN bersedia mengambil
tindakan terhadap apa juga laporan dan resolusi daripada Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) yang sedang menyiasat kehadiran pendatang asing tanpa izin di
Sabah, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Beliau berkata sekiranya
terdapat unsur jenayah maka tindakan akan diambil dan jika didapati terdapat
sesuatu yang tidak betul ia akan diperbetulkan.
"Ya (kita sedia ambil
tindakan). Kita semua mesti ingat, kalau kesalahan jenayah, kita akan ambil
tindakan. Kalau ada perkara yang tak betul akan dibetulkan. Itu janji kerajaan.
Itu sebab kita ada RCI. Kalau kerajaan tak mahu buat (RCI), tak ada RCI.
"Tetapi kita mesti
ingat, apabila kita bercakap tentang pendakwaan jenayah ini, kita kena tengok
lagi adakah cukup bukti. Dalam RCI ini apa-apapun orang cakap boleh diterima,
tanpa buktipun kita terima. Bukti keterangan khabar angin pun kita terima.
"Tapi untuk kita ke
mahkamah, kita kena tengok keterangan yang boleh diterima. Itu kita mesti
tengok tetapi itu bukan satu alasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap
orang yang telah buat salah. Tak ada. Tetapi kita akan mengambil tindakan
tetapi mesti mengikut lunas-lunas undang-undang.
"Jika saya tidak
mengikut lunas undang-undang, orang akan kata, oh saya tak adil atau kerajaan
tidak adil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan
pembukaan Tahun Perundangan 2013 di Mahkamah Tawau di Tawau kelmarin.
Turut hadir pada majlis
berkenaan ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Ketua Hakim Mahkamah
Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid
Embong dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.
Sehubungan itu, Abdul Gani
meminta semua pihak supaya memberi kepercayaan penuh kepada RCI berkenaan yang
disifatkannya setakat ini telah melakukan siasatan yang benar-benar mendalam
dan menyeluruh dengan semua perkara di keluarkan.
"Semua orang pun tahu,
ramai yang kena tangkap (termasuk) yang ada kad pengenalan pun dikeluarkan
(dalam siasatan RCI). Itu menunjukkan ketelusan kerajaan.
"Satu lagi, kalau
dipandang dari segi ini, itu adalah betul-betul janji ditepati kerana Perdana
Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkata dia akan membuat satu RCI yang
telus dan dijamin perkara ini akan dibuat dengan cara telus dan baik. Kalau
tidak takkanlah semua perkara ini keluar," katanya.
"Dan saya sangat bangga
dan sukacita dengan perkara itu kerana itu yang kita mahu. Sebab apa, kebenaran
pasti wujud sepertimana yang ada. Jadi kita tunggu. Lagi satu, jangan kelam
kabut memikirkan perkara itu. Kerajaan tidak akan membuat satu RCI, kalau
kerajaan memang salah takkan kerajaan tangkap sampai 98 orang di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri," katanya.
Menurut Abdul Gani mungkin
ada kesilapan telah dilakukan sebelum ini dan kesilapan itulah yang ingin
disiasat sama ada dilakukan pegawai-pegawai kerajaan, atau kerajaan sendiri
ataupun ada unsur penipuan ataupun rasuah seterusnya diselesaikan yang akhirnya
menggembirakan semua pihak.
"Dan kesilapan itu kita
mesti dibendung, adalah penting bagi negeri ini (Sabah), ini negeri saya. Kita
mesti lakukan sesuatu. Jadi janganlah kelam kabut, kita tunggu dan tengok
(lihat), biarlah RCI itu buat kerjanya dengan baik," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment