LAHAD DATU: Pasukan Polis
Marin (PPM) Lahad Datu berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok seludup
apabila berjaya merampas 11,800 bungkus rokok pelbagai jenama yang dianggarkan
bernilai RM35,400 dalam serbuan di pesisir Pantai Tandu, Sahabat 16, dekat
sini, pada Sabtu.
Komander PPM Wilayah 4
Sabah, ACP Abdul Manaf Othman, berkata kejayaan rampasan hasil risikan pihaknya
itu telah dibuat pada kira-kira pukul 5 pagi oleh sepasukan lima anggota PPM
bersama seorang pegawai.
Katanya, sebaik sahaja
menerima maklumat pasukannya telah bergegas ke lokasi serbuan.
“Pada mulanya pegawai dan
anggota PPM cuba membuat pemantauan selama beberapa jam di kawasan tersebut.
Namun selepas tiada suspek yang muncul, pihak kita terus membuat rampasan
terhadap kesemua rokok yang disembunyikan dalam belukar di persisir pantai
Tandu itu,” katanya dalam sidang media yang disampaikan oleh Pegawai Pemerintah
Markas Operasi PPM Daerah ini, Asisten Superitenden (ASP) Rusdin Banin, di
sini, pada Sabtu.
Kata Manaf, rampasan itu
adalah membabitkan sebanyak 10,300 bungkus rokok jenis Astro dan 1,500 bungkus
rokok jenis Marvels.
“Kesemua rokok ini juga
dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran di kawasan Lahad
Datu,” ujarnya.
Tambahnya, semua rampasan
itu akan diserahkan ke Pangkalan PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya dan
kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, dalam rampasan
berasingan pada Rabu lepas, PPM Lahad Datu juga berjaya merampas 1,091 botol
minuman keras jenis ‘Red Horse’ dan ‘Thaduay’ dianggarkan bernilai RM11,900,
dalam serbuan pada kira-kira jam 7.30 pagi, di kawasan pantai Sinakut, Sahabat
16.
Kata Manaf, semasa serbuan
kesemua minuman itu ditemui disembunyikan dalam sebuah pondok terbiar dan tiada
tangkapan dibuat.
Dalam pada itu, beliau juga
meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kegiatan
penyeludupan supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama orang ramai yang
sentiasa memberikan maklumat mengenai kegiatan aktiviti penyeludupan sebelum
ini juga amat dihargai oleh PPM,” katanya lagi. (NST)
No comments:
Post a Comment