Wednesday, 30 January 2013

SAAT-SAAT LUCU KETIKA SESI SIASATAN RCI





         
Oleh :   NIGEL AW

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang di Sabah kelmarin ini diberitahu mengenai keadaan pelarian Filipina yang hidup dalam kemiskinan di negeri ini.

Namun, ada saat-saat lucu sewaktu seorang saksi menceritakan mengenai sebuah rumah yang mempunyai 'kemudahan' yang lebih baik daripada yang lain.

Sioh Jabidi, ketua Kampung Sungai Buaya di Tawau; salah sebuah daripada 32 kampung pelarian di Sabah, berkata penempatan tersebut tidak mempunyai bekalan elektrik atau air.

Peguam Persatuan Undang-Undang Sabah, Ahmad Abdul Rahman kemudian merujuk kepada gambar kampung tersebut yang dikemukakan kepada panel dan menunjuk sebuah daripadanya yang kelihatan sangat berbeza.

Ahmad bertanya mengapa ketika orang lain hidup miskin, rumah tersebut dicat kuning serta menaikkan bendera dengan gambar bintang dan ada Astro.

Sioh menjawab, ejen (Astro) yang memasangnya.

Ahmad bertanya lagi sama ada rumah itu menjadi tempat semua orang berkumpul untuk menontonnya.

Sioh menjawab, tidak, ia milik seseorang.

Ahmad bertanya siapakah yang membayarnya, dan Sioh menjawab ia dibayar oleh pemiliknya.

Ahmad bertanya bendera apa yang dipasang di rumah itu dan Sioh menjawab: SAPP (Parti Maju Sabah).

Pada ketika ini, semua orang dalam dewan Komplek Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu - mana siasatan RCI dijalankan - tidak dapat menahan ketawa.

Sebaliknya, Sioh berkata, penduduk lain di kampung tersebut terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dan air secara haram dan ada yang pernah didakwa kerananya.

Seramai 1,520 penduduk kampung itu juga menghadapi masalah lain seperti jenayah dadah, penyeludupan rokok dan pengangguran, katanya.

Penduduk kampung, yang terletak di tepi laut, turut terpaksa berdepan dengan longgokan sampah yang dihanyutkan ke situ sewaktu air pasang tinggi.

Pegawai pengendali siasatan RIC, Jamil Aripin menjelaskan bahawa kemudahan yang daif di kampung-kampung seumpama itu mungkin kerana ia tidak diwartakan sebagai penempatan pelarian. Hanya lima daripada 32 kampung terbabit telah diwartakan.

Turut memberi keterangan ialah dua pendatang tanpa izin, yang kini berada di pusat tahanan, yang menceritakan bagaimana mudahnya untuk menceroboh sempadan Sabah.

Nisa Rahmat, 30, yang sedang ditahan di pusat tahanan imigresen Sandakan, berkata dia masuk dengan menaiki bot dari Sulawesi, Indonesia selepas membayar RM100 pada tahun 2011.

"Ketika kami tiba berhampiran Tawau, kita lompat dari bot dan berenang ke pantai," katanya.

Ketika ditanya oleh peguam Ansari Abdullah (kiri) sama ada polis marin atau tentera laut pernah cuba untuk menghalang mereka, dia menjawab tidak pernah satu pun.

Dia kemudiannya bekerja di sebuah ladang dengan bayaran elaun RM100 sebulan, selepas mendapat kerja itu melalui seorang lelaki bernama 'Kassim', yang berketurunan Bugis.

"Kita berurusan dengan Kassim sebagai majikan kita ... majikan saya masih belum bayar RM3,500 gaji saya. Saya diberitahu saya akan mendapat wang itu apabila saya kembali ke Indonesia," katanya.

Ditanya jika dia benar-benar percaya bahawa dia akan mendapat wang tersebut, Nisa menjawab: "Ya."

Nisa telah ditahan pada bulan Disember 2012 di sekatan imigresen semasa dia dalam perjalanan dengan menaiki bas.

Nisa menjelaskan dia memasuki Sabah secara haram kerana untuk mendapat pasport Indonesia memerlukan bayaran yang bersamaan dengan kira-kira RM1,000.

Bagaimanapun, katanya, dia ingin kembali ke Malaysia jika diberi peluang, selepas dia dihantar pulang.

Degon Amy, 33, yang turut ditahan di pusat tahanan imigresen Sandakan, juga memberitahu cerita yang sama.

Dia masuk melalui sempadan Sabah pada tahun 2002 bersama dengan 60 lagi dengan bot, dan tiba di Pulau Berhala tanpa bertembung dengan pihak berkuasa.

Dari pulau tersebut, sebuah motorbot membawa mereka, 20 orang pada satu-satu masa, ke Sandakan di tanah besar.

"Kami turun di pasar Sandakan. Terdapat ramai orang di sana tetapi mereka tidak tahu apa-apa," katanya.

Degon dipindahkan ke pusat tahanan itu November lalu untuk menunggu dihantar pulang, selepas menjalani hukuman penjara enam bulan kerana memiliki dadah.

No comments:

Post a Comment