Wednesday, 30 January 2013

CONTOHI KEHIDUPAN RASULULLAH S.A.W






HULUR BANTUAN....Saddi menghulur bantuan kepada salah orang kanak  Istimewa.



Oleh : SAIMON S JUMADI

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, mengajak masyarakat Islam agar mencontohi amalan hidup Nabi Muhammad SAW yang bersikap sederhana tetapi sumbangannya terhadap agama tidak ternilai.

Menurut beliau, sikap kesederhanaan Baginda turut membaiki imej Islam sekali gus menjadikan ummah contoh terbaik sejak berkurun lamanya.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dengan memilih tema 'Wasatiyyah Tonggak Perpaduan Ummah' amat bertepatan dengan usaha kerajaan mencontohi sikap seimbang yang dipratikkan Baginda.

Katanya, umat Islam perlu berpegang dan mencontohi sikap Baginda yang bukan sahaja menyumbang kepada agama malahan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan sesama ummah ketika berdepan dengan cabaran era globalisasi.

"Sikap sederhana Baginda Nabi Muhammad menjadi pencetus untuk kita sebagai umat Islam mengamalkan amalan hidup sedemikian demi menjadikan Islam terus menjadi contoh terbaik," jelasnya.







Saddi berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul 1434H / 2013M Bersama Kanak-Kanak Istimewa yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Permuafakaran Jiran Wanita Daerah Kinabatangan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional baru-baru ini.

Pada majlis itu seramai 12 orang kanak-kanak istimewa sekitar kawasan Kinabatangan telah menerima sumbangan daripada beliau.

Adun Sukau itu menegaskan umat Islam khususnya di kawasan ini perlu bersatu padu sambil mengamalkan hidup wasatiyyah memandangkan nilai-nilai kesederhanaan ini menjadikan ummah menjadi matang serta kuat menghadapi cabaran mendatang..

Beliau turut mengingatkan masyarakat Sukau agar berhati-hati dalam memilih pemimpin dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang suka cakap kosong akhirnya tidak memberi kebaikan kepada rakyat.

Katanya, sikap seperti ini hanya bagi individu yang muncul bila tibanya musim pilihan raya dan mengambil kesempatan dengan memutarbelitkan sesuatu fakta semata-mata untuk kepentingan politik.

"Kita kena pilih pemimpin yang ada wawasan jauh dan bukan mereka-mereka yang suka berjanji kosong termasuk sanggup mempersendakan maruah.

"Tetapi pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini telah terbukti sentiasa berusaha bagi membantu dan meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pelbagai pendekatan yang dilaksanakan.

"Oleh itu, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pastikan kemenangan mutlak memihak kepada BN khususnya di kawasan ini demi kesinambungan pembangunan dan masa depan yang lebih baik," jelasnya.

No comments:

Post a Comment