TAHNIAH
... Peter Pang menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta
kursus itu.
Oleh : SAIMON S JUMADI
KEMENTERIAN Belia dan Sukan Sabah kini mempergiatkan
usaha untuk menggalakkan belia-belia menubuhkan badan berpersatuan.
Menterinya, Datuk Peter Pang
En Yin berkata, misi kementerian pada tahun ini ialah untuk menubuhkan
1PERSATUAN 1KAMPUNG di mana banyak faedah yang dapat dimanfaatkan sekiranya
golongan berkenaan tampil menubuhkan persatuan.
Untuk tujuan itu, ujar
beliau, kementerian akan memberi Geran secara 'One-Off' sebagai insentif
Pengurusan Persatuan Berdaftar berjumlah RM1,000 dan Geran RM5,000 untuk
melaksanakan aktiviti berpandukan kertas kerja dan laporan aktiviti yang boleh
dipohon oleh mana-mana persatuan belia berdaftar.
"Setakat ini, sebanyak
397 badan persatuan belia di seluruh Sabah telah didaftarkan oleh ROS manakala
bagi daerah Sandakan sahaja 10 badan persatuan berdaftar dan 9 lagi badan yang
sedang menanti untuk didaftar," katanya kelmarin.
Peter Pang berkata demikian
ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Program Kemahiran dan Keusahawanan
Bahagian Pembangunan Belia Kementerian Belia dan Sukan Negeri peringkat Daerah
Sandakan di Bangunan Persatuan Tongkang, Kampung Pukat, di sini.
Dalam pada itu, katanya,
kementerian beliau menganjur program tersebut adalah bertujuan untuk membimbing
belia yang tercicir terutama dari luar bandar.
Tambahnya, menerusi program
seumpama ini boleh membantu merubah gaya hidup mereka ke arah kehidupan yang
lebih positif dan bermakna.
Ini katanya, sepanjang
kursus para peserta program didedahkan dengan ilmu dan kemahiran sebagai
persiapan dalam usaha membantu memilih kerjaya masa depan mahu pun membantu
memperkasa keyakinan diri apabila terkeluar daripada hidup kebiasaan mereka.
Untuk rekod, beritahunya,
pihak kementerian pada tahun lepas sahaja telah melatih seramai 1,020 belia
yang berumur 17 hingga 40 tahun dalam pelbagai program kemahiran dan
keusahawanan jangka pendek dari seluruh daerah di negeri ini.
"Demi untuk menyahut
dan menunaikan permintaan serta kehendak belia-belia supaya memperbanyakkan
aktiviti riadah dan kemahiran 'hands-on' di Daerah Sandakan, kementerian saya
pada bulan Januari ini, sudah menganjurkan dua program untuk para Sandakan
iaitu Bengkel Taekwondo melibatkan 50 peserta dan program kemahiran melibatkan
40 peserta.
"Banyak lagi program
yang akan menyusul dianjurkan seperti Program 9 Teras, Program Kepimpinan dan
Program Aktiviti Kesukanan serta program persatuan akar umbi yang akan diadakan
dengan bantuan dan sokongan kementerian saya.
"Ini menunjukkan
kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman
melalui kementerian amat prihatin dan peka dengan keperluan serta kebajikan
rakyat khasnya belia-belia yang perlu pembelaan," jelasnya.
Beliau memerlukan maklumbalas
belia dari segi pendapat serta cadangan penambahbaikan demi meningkatkan lagi
pelbagai kemahiran mereka.
Sehubungan itu, beliau
menyarankan 40 peserta yang mengikuti kursus membuat pelbagai kek ini supaya
terus mempraktik dan meningkatkan kemahiran yang diperolehi untuk kemajuan
diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara.
No comments:
Post a Comment