Saturday 5 January 2013

MUSA ENGGAN KOMEN KES ALTANTUYA






Oleh : AMIN ISKANDAR

KUALA LUMPUR : Tan Sri Musa Hassan enggan diheret ke dalam kisah terbaru pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 berikutan penerbitan sebuah buku yang mendakwa bekas Ketua Polis Negara (KPN) mempunyai maklumat dalaman berkenaan kes itu.

Bekas KPN juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dengan dengan kes letupan yang dikaitkan dengan beberapa ahli politik dari pemerintah Barsian Nasional (BN) yang timbul semula baru-baru ini menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Saya takde apa nak komen,” kata beliau (gambar) kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi semalam sebagai respon mengenai tuduhan beliau tahu mengenai kegiatan-kegiatan yang menyelubungi kematian penterjemah Mongolia yang diupah untuk membantu pembelian dua buah kapal selam Perancis beberapa tahun lalu dimana dua polis komando elit telah disabitkan kesalahan dan menghadapi hukuman mati.

“Saya dah kata banyak kali, Najib tidak terlibat dengan pembunuhan Altantuya. Ini kerja (Abdul) Razak Baginda,” katanya merujuk kepada bekas penasihat politik Najib yang mempunyai hubungan dengan Altantuya.

“Saya pernah brief (beri taklimat) Pak Lah bahawa Najib tidak terlibat dalam kes ini,” katanya merujuk kepada perdana menteri pada ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebuah buku 26 halaman bertajuk “Black Rose - Black Rose 1.0” menerangkan tentang kes politik berprofil tinggi melibatkan personaliti kerajaan dan ahli perniagaan yang kononnya terlibat dalam konspirasi pembunuhan Altantuya beredar dalam talian sejak beberapa hari lepas.

Peniaga permaidani Deepak Jaikishan yang berada di tengah-tengah kontroversi sekitar akuan bersumpah bercanggah P. Balasubramaniam mengenai kes itu, semalam mengaku merupakan penulis buku tersebut. Beliau juga telah berkata beliau akan mengeluarkan sekuel selepas ini.

Balasubramaniam, bekas polis bertukar penyiasat peribadi, pada masa itu diupah oleh Abdul Razak Baginda untuk memerhatikan Altantuya dilihat menjadi saksi utama kepada seluruh saga.

Deepak baru-baru ini mendedahkan penglibatan beliau dalam mendapatkan Balasubramaniam untuk membuat akuan bersumpah (SD) kedua, mengubah kenyataan awal yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya.

Majlis Peguam awal minggu ini dikritik kerana melengah-lengahkan waktu untuk mendedahkan identiti peguam di belakang kontroversi akuan bersumpah kedua P Balasubramaniam.

Peguam Americk Singh Sidhu yang mewakili bekas penyiasat persendirian itu memberitahu The Malaysian Insider, Majlis Peguam harus mempercepatkan siasatan kes berprofil tinggi itu yang sebelum ini dikaitkan dengan pegawai tertinggi kerajaan, muncul semula menjelang pilihan raya umum ke 13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Majlis Peguam berkata ia sedang menyiasat kemungkinan salah laku dalam penggubalan SD kedua Balasubramaniam, yang bercanggah dengan kenyataan beliau sebelum ini yang dibuat sehari sebelumnya berkenaan dengan penterjemah Mongolia.

Misteri menyelubungi ke atas identiti peguam yang menyediakan SD kedua Balasubramaniam, bertarikh sehari selepas SD pertama beliau pada 3 Julai 2008, mengenai kes pembunuhan Altantuya.

Bulan lalu Musa menuduh menteri Kabinet dan ahli politik termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein sering cuba campur tangan dalam tugasan polis. (TMI)

No comments:

Post a Comment