BELURAN : Pejabat kesihatan
di sini Khamis menganjurkan program perintis pemeriksaan ultrabunyi abdomen dan
endoskopi, iaitu satu program baharu bermatlamat menjejaki pesakit luar bandar,
yang diadakan di Klinik Kesihatan Telupid.
Pegawai kesihatan kawasan,
Dr Sahipudin Saupin berkata program yang pertama kali diadakan di Sabah itu
dikendalikan sepasukan pakar bedah Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan,
bagi penduduk luar bandar membuat pemeriksaan endoskopi.
Beliau berkata pendekatan
tersebut dibuat berdasarkan maklumbalas susulan lawatan pakar bedah ke klinik
tersebut pada 19 Okt tahun lepas yang telah mengenal pasti beberapa isu
kesihatan termasuk penghidap kanser gaster yang ramai di kalangan penduduk
Telupid.
Katanya, pesakit-pesakit
yang dirawat sebagai penghidap dyspepsia pada peringkat umur yang berisiko
mendapat kanser, menunjukkan jumlah bertambah dan pesakit berkenaan mempunyai
masalah kewangan serta pengangkutan untuk ke HODK mendapatkan rawatan.
Menurut Dr Sahipudin,
program perintis itu membolehkan pesakit yang berisiko mendapat kanser usus
atau gaster dari daerah berkenaan mendapat rawatan optimum daripada pakar bedah
HODK. (Bernama)
No comments:
Post a Comment