Sunday, 17 June 2012

CABARAN KEDAULATAN ALAF BARU SABAH




Oleh : NASPAZI

KESEDARAN hakikat kewujudan negara Sabah, dalam kearifan nasionalisme murni adalah jawapan kepada soalan yang penulis kemukakan, sama ada cara berfikir bumiputera Sabah memang patut dijajah; atau regim Malaya yang licik menipu sehingga bumiputera Sabah tidak terasa yang dirinya sedang dijajah?

Justeru, penulis masih berfikir tentang betapa pentingnya pengembalian kuasa politik kepada parti-parti tempatan dan pengamal-pengamal politik tempatan yang menjunjung tinggi kedaulatan kemerdekaan negara Sabah.

Tetapi, cabaran terbesar yang terbentang dihadapan bumiputera Sabah adalah parti-parti tempatan dan pengamal-pengamal politik tempatan yang agak berpengaruh sudah menjadi barua boneka kuda tunggangan kepada regim Malaya.

Yang demikian, negara Sabah ketandusan, kekeringan dan kekontangan parti-parti tempatan dan pengamal-pengamal politik tempatan yang tegas dan berani menjunjung tinggi idealisme kedaulatan kemerdekaan negara Sabah.

Bahkan, yang lebih parah lagi adalah tindakan regim Malaya mengindoktrinasi bumiputera Sabah agar tidak menghargai pengamal politik tempatan yang mencuba hendak memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dalam ‘Negara komponen Malaysia’ yang akhirnya, telah mengakibatkan kerugian besar yang bukan kepalang kepada rakyat Sabah sendiri.

Perjuangan adalah perkataan yang dikumandangkan sepanjang hari, sepanjang minggu, sepanjang bulan dan sepanjang tahun oleh bidak-bidak di pentas politik Sabah yang sudah mengaku melayu melalui UMNO. Namun, idealisme politik mereka tidak menggambarkan kefahaman jitu yang berhubung dengan fungsi kedaulatan kemerdekaan negara Sabah dalam konteks pembentukan Malaysia.

Fungsi penggabungan Malaya Sabah Sarawak dalam ‘Negara komponen Malaysia’ sepatutnya hendaklah dengan ketetapan tegas dalam soal pembahagian bidang kuasa yang jelas. Malaya sepatutnya, hendaklah hanya bertanggungjawab dalam bidang pertahanan, urusan luar negeri dan keamanan dalam negeri.

Manakala Sabah Sarawak pula, setatutnya hendaklah memiliki autonomi dalam bidang kewangan, pendidikan, perkhidmatan awam dan pemerintahan negara sendiri; atau sebagaimana urustadbir negara Sabah di zaman USNO.

Sesungguhnya, betapa kegagalan bumiputera Sabah mempertahankan kuasa autonominya, telah mengakibatkan bumiputera Sabah sendiri dipandang rendah; atau dipandang hina dalam ‘Negara Komponen Malaysia’ pasca USNO. Yang demikian, ratusan ribu juta kata-kata, bukanlah pengganti makna; erti kedaulatan kemerdekaan negara Sabah, jika Malaya menjadi destinasi segala urusan hidup rakyat Sabah.

Lantaran itu, kebebasan politik demokrasi di Sabah hanya auta, suatu bentuk demokrasi yang tercampak di lautan IC Projek sebagai negara 'Fixed Deposit' kepada kemenangan demokrasi busuk regim Malaya, sehinnga hasil bumi Sabah sendiri tinggal sisa, warkah perjanjian Malaysia binasa, bumiputera Sabah yang dijajah hanya berputih mata, konsep satu negara dua sistem buta, China, Hong Kong, Macau, Taiwan dan Tibet berlainan sistem, tapi satu negara.

Oleh itu, golongan profesional dan cendekiawan negara Sabah bersatulah! Negara Sabah sebenarnya sudah kehilangan segala-galanya. Lantaran, sistem pertahanan Sabah Australia New Zealand Army Corps (SANZAC), hanya tinggal nama sebagai Sekolah Menengah.

Kementerian luar sendiri tiada. Kementerian keselamatan sendiri tiada. Matawang sendiri tiada. Sistem pendidikan sendiri tiada. Perkhidmatan awam sendiri tiada. Sistem pemerintahan negara sendiri tiada. Oleh itu, yang tinggal untuk negara Sabah hanya barua yang menjadi talibarut kepada regim Malaya.

Lantarannya, jika bumiputera Sabah di masa depan punah, angkara diasimilasi menjadi melayu baru dalam UMNO sebagai warga yang hina, kemudian menanggung sengsara yang tidak terderita, di bumi tembuni leluhur bumiputera Sabah bersemadi; ingatlah bahawa Sabah Sarawak adalah tiang seri ‘Negara komponen Malaysia’.

Justeru, Sabah Sarawak adalah 'Founding Father Of Malaysia 1963'. Sabah Sarawak bersetuju menubuhkan Malaysia, tetapi bukan untuk dikhianati; atau diperbodoh oleh rakan kongsi dalam ‘Negara komponen Malaysia’.

Oleh itu, seluruh bumiputera Sabah bangkitlah kamu! Bangunkan semula maruah politik dan wibawa pemimpin tempatan Sabah, sebagaimana di awal kemerdekaannya, khususnya yang berhubung dengan pengambilalihan kuasa autonomi, sekurang-kurangnya dalam bidang sistem kewangan sendiri, sistem pendidikan sendiri, sistem perkhidmatan awam sendiri dan sistem pemerintahan negara sendiri, berteraskan hak-hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perjanjian 20 Perkara.

Sedia maklum, bahawa British telah memerdekakan Malaya pada 31 Ogos 1957, Sarawak pada 22 Julai 1963 dan Sabah pada 31 Ogos 1963. Pada 16 September 1963, Malaya Sabah Sarawak telah bergabung atas nama negara Malaysia.

Persoalannya adalah, adakah nilai laungan kemerdekaan Sabah Sarawak tidak sama taraf dengan nilai laungan kemerdekaan Malaya? Atau, adakah konsep dan prinsip nilai laungan kemerdekaan Malaya Sabah Sarawak tidak sama taraf? Atau, adakah alasan munasabah yang mewajarkan, bahawa nilai laungan kemerdekaan Malaya lebih tinggi berbanding nilai laungan kemerdekaan Sabah Sarawak?

Sesungguhnya, Perjanjian 20 Perkara menyatakan bahawa, pegawai Malaya tidak boleh menjadi Ketua Jabatan di dalam agensi kerajaan negara Sabah. Tetapi, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

Justeru, hampir semua Ketua Jabatan di dalam agensi kerajaan negara Sabah, bukan sahaja dibolot oleh pegawai Malaya, bahkan telah diserap ke dalam agensi kerajaan negara Malaya atas alasan integrasi. Kalau begitu, perkataan integrasi telah digunakan sebagai pemusnah kreatif kepada kedaulatan kemerdekaan negara Sabah!

Yang demikian, rakyat Sabah akhirnya terpaksa mengemis dan menyembah kepada agensi kerajaan negara Malaya untuk mendapatkan pekerjaan, sama ada dalam agensi kerajaan mahupun swasta yang pada asalnya adalah agensi kerajaan negara Sabah yang telah diserahkan kepada kerajaan negara Malaya pasca USNO.

Agensi kerajaan negara Sabah yang telah diserahkan kepada kerajaan negara Malaya adalah seperti Jabatan Pendaftaran, Jabatan Pelajaran dan Jabatan Penyiaran (sekadar beberapa contoh).

Justeru, penyerahan jabatan agensi kerajaan negara Sabah pasca USNO kepada regim Malaya, termasuklah Jabatan Pendaftaran negara Sabah bukan sahaja amat merugikan kerajaan negara Sabah, bahkan lebih memudahkan lagi kepada regim Malaya untuk menjalankan kegiatan busuknya, termasuklah dalam soal pemberian IC Projek kepada PTI.

Sekarang talibarut regim Malaya di Sabah (melayu baru) kononnya beria-ia hendak meminta RCI ditubuhkan untuk menangani PTI yang regim Malaya sendiri berikan IC Projek demi mencapai kemenangan haram jadah mereka dalam sekian kali PRU.

Betapa PTI yang telah mendapat IC Projek regim Malaya pasti terukir menjadi sejarah hitam yang tidak boleh dilupakan oleh bumiputera Sabah zaman-berzaman. Dengan kata lain, regim Malaya di Sabah adalah pembina mahligai di atas pusara kehancuran bumiputera Sabah sendiri.

Sedikit tentang kehadiran parti STAR di Sabah. Semenjak kehadiran parti STAR di Sabah, ribuan kemusykilan telah dibangkitkan soal kewajarannya dibawa masuk ke negara Sabah; memandangkan kononnya ia tidak mendapat sambutan rakyat negara Sarawak.

Dalam paradigma penulis, ia adalah soal penerimaan, UMNO masuk ke negara Sabah, dan sekaligus memerintah negara Sabah, walaupun pada dasarnya tidak wujud etnik tulen negara Sabah; atau warga bumiputera negara Sabah yang mengaku melayu.

UMNO tidak masuk ke negara Sarawak. Pada hal, di negara Sarawak wujud etnik; atau warga bumiputera negara Sarawak yang mengaku melayu (Melanau), namun penduduk negara Sarawak yang mengaku melayu tidak menerima UMNO untuk menolaknya. Demikian juga dalam konteks sejarah kelahiran Islam. Islam muncul di Mekah, tetapi berkembang di Madinah, kerana warga Madinah menerimanya, manakala penduduk Mekah menolaknya.

Adalah jelas, bahawa objek penentangan pengamal politik di Sabah terhadap kehadiran parti STAR di Sabah adalah faktor Datuk Dr Jeffrey Kitingan; atau kerana parti STAR di Sabah dipimpin oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bukan penganut Islam. Sedia maklum, bahawa pengamal politik di Sabah dalam konteks paradigma Malaya memang tebal dengan sentimen agama selain Islam.

Namun begitu, rakyat Sabah perlu sedar dan insaf, bahawa 10 negara terbaik di dunia pada hari ini dan sekarang seperti Finland, Switzerland, Sweden, Australia, Luxembourg, Norway, Canada, Belanda, Jepun dan Denmark tidak menjadikan agama sebagai sentimen dalam usaha mereka mencapai kerukunan, keamanan dan kesentosaan dalam berkerajaan, bermasyarakat dan bernegara.

Sehubungan itu, dalam konteks ‘Negara Komponen Malaysia’ hakikatnya adalah, dalam pada rakyat Sabah Sarawak, bermati-matian mendewa-dewakan regim Malaya, pada masa yang sama Sabah Sarawak dari status negara jatuh menjadi negeri; sekaligus negeri termiskin termundur di Malaysia.

Sedangkan rakyat Brunei Singapura yang tidak memberi muka kepada regim Malaya, malah mereka menjadi negara; sekaligus antara negara terkaya termaju di dunia dan akhirnya "Aku berfikir, maka aku ada" - Descartes (1641).

19 comments:

  1. kita sebagai rakyat Sabah harus mempertahankan kedaulatan tanah air kita.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ini juga tanggung jawab semua insan

      Delete
    2. Semua golongan tidak harus melupakan tanggung jawab sebagai seorang warganegara tulen.

      Delete
    3. kini pelbagai bentuk penjajahan dihadapi oleh kita tanpa disedari..maka adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk mempertahankan kedaulatan tanah air dari sebarang bentuk penjajahan..

      Delete
  2. Sebagai rakyat Sabah, memanglah kita mahukan yang terbaik buat Sabah kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. semua rakyat pasti mahukan yang terbaik untuk rakyat Sabah.

      Delete
  3. Jadi yang dah lepas jadikan pengajaran dan pastikan peluang mengundi semasa PRU kali ini tidak disia-siakan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. rakyat sudah tahu menilai dan memilih..ini adalah bukti kesuburan demokrasi di malaysia..undilah dengan bijak pada pru13 nanti.

      Delete
  4. Rakyat tahu menilai sendiri mengenai perkara sebegini. Maka kita tunggu apa yang akan berlaku selepas ini.

    ReplyDelete
  5. Sabah perlu dilindungi. Sabah untuk rakyat Sabah.

    ReplyDelete
  6. Agama bukannya penghalang seseorang itu untuk menjadi ketua. Sebelum ini pun KM sabah semasa bergilir dipegang oleh bukan Islam juga. Jadi jangan jadikan agama sebagai alasan semata-mata.

    ReplyDelete
    Replies
    1. agama dan politik harus dipisahkan...agama tidak patut dijadikan sebagai alat politik untuk mendapatkan sokongan dan undi rakyat..

      Delete
  7. Semua mau yang terbaik untuk Sabah. Jadi PRU nanti, undilah dengan bijak.

    ReplyDelete
  8. Rakyat haru smenilai demi masa depan semua golongan khas generasi muda.

    ReplyDelete
  9. apa yang penting adalah, hak dan kepentingan rakyat dijaga dengan sebaiknya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Usahakan kerajaan dalam menangkis anasir2 luar yang cuma menjatuhkan negara harus berterusan.

      Delete
  10. sama2 kita bersatu dalam mengekalkan keamanan dan kemajuan negara

    ReplyDelete
  11. Agreemant Malaysia yang ditandatangani dokumennya di London, perlu melaksanakan Akta Malaysia untuk menubuhkan Kerajaan Malaysia ketika itu. Perkara ini telah dimasukkan di dalam artikel 1: Iaitu artikel ini menerangkan bahawa negeri-negeri yang terlibat dalam Persekutuan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak setaraf dengan negeri-negeri di dalam Malaysia.

    ReplyDelete
  12. Ini menunjukkan bahawa Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaya dan Singapura adalah satu kompenan negeri di dalam Malaysia. Kenyataan pihak pembangkang yang menyatakan Sabah adalah sama taraf dengan Kerajaan Malaysia adalah tidak benar sama sekali dan menyalahi perlembagaan dalam Akta Penubuhan Malaysia.

    ReplyDelete