KUALA LUMPUR: Hati wanita
mana tidak terguris apabila melihat suami sedang berasmara dengan anak
kandungnya di dapur rumah ketika dia baru pulang dari hospital selepas
menjalani rawatan pembedahan kerana mengandung di luar rahim.
Biarpun kejadian itu dua tahun
berlalu, situasi ibarat ‘bermadu dengan anak sendiri’ menyebabkan dia yang mahu
dikenali sebagai Azie amat kecewa kerana hatinya disakiti dua insan paling
disayangi.
Azie, 30-an berkata,
hidupnya tidak menentu selepas melihat perbuatan bekas suaminya yang mengambil
kesempatan terhadap anak tiri.
Menurutnya, anak gadisnya
yang ketika itu berusia 15 tahun anak sulung hasil perkongsian hidup dengan
suami pertama yang dikahwini pada 1994 sebelum bercerai lima tahun kemudian.
“Hasil perkahwinan itu, saya
dikurniakan dua anak. Seorang lagi anak lelaki yang kini berusia 13 tahun.
Selepas bercerai, kedua-dua anak itu dijaga nenek mereka di pantai timur,”
katanya.
Menurutnya, selepas tiga
tahun menjanda, hatinya ditambat seorang lelaki berusia 40-an dan mereka
melangsungkan perkahwinan pada 2002.
“Perkahwinan kali kedua ini
pada awalnya bahagia dan kami mendapat dua anak masing-masing seorang lelaki
yang kini berusia lapan tahun dan perempuan berusia lima tahun.
“Namun, kebahagiaan itu mula
tergugat sedikit demi sedikit selepas saya mengambil dua anak dengan suami dulu
tinggal dengan kami di ibu kota,” katanya.
Menurutnya, ketika anak
gadisnya berusia 13 tahun, dia sudah mula mencurigai sikap suami yang
seolah-olah cuba mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.
“Saya pernah terserempak
suami yang berada dalam bilik anak dan dia cuba meraba anak saya yang ketika
itu tidur.
“Bagaimanapun, ketika
ditanya dia membuat alasan mahu menghalau nyamuk dan saya mendiamkan diri
kerana enggan bergaduh selain tidak mahu anak lain tahu,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu
makin menjadi-jadi apabila anak gadisnya berusia 15 tahun dan pernah anaknya
itu demam teruk dan meminta dibawa ke klinik.
“Ketika dalam perjalanan ke
klinik, baru anak saya menceritakan kejadian sebenar yang dia sudah beberapa
kali menjadi pemuas nafsu suami, namun tidak berani menceritakannya kepada
sesiapa kerana diugut bapa tirinya itu.
“Saya membawa anak saya ke
balai polis untuk membuat laporan rogol kerana anak masih di bawah umur,”
katanya.
Azie berkata, suami keduanya
itu juga seorang yang panas baran dan suka memukulnya dan anak-anak, namun
hanya anak sulung yang dijadikan hamba seks itu tidak dipukul.
“Lebih mengecewakan apabila
suami memukul dan memijak perut saya walaupun ketika itu saya baru tiga hari
selesai menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.
“Mungkin dia bertindak
begitu kerana marah selepas saya ternampak dia berasmara dengan anak ketika
mereka di dapur,” katanya.
Menurutnya, selepas kejadian
itu, anak lelaki keduanya turut menceritakan yang dia pernah terserempak
kakaknya beberapa kali masuk ke bilik bapa tiri sebelum keluar dua hingga tiga
jam kemudian.
“Bagaimanapun, anak saya itu
tidak berani menceritakannya sebelum ini kerana takut dipukul suami yang panas
baran, malah dia pernah diseksa dengan diterbalikkan kepala ke bawah kerana
mengetahui hubungan bapa tiri dengan kakaknya itu.
“Selepas mendengar semua
cerita dan mengetahui apa yang berlaku ditambah dengan apa yang saya lihat,
saya meminta cerai dan kami berpisah Ogos tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Azie kini
buntu apabila anak gadisnya itu yang kini berusia 17 tahun menghilangkan diri
sejak enam bulan lalu dan dia syak kemungkinan bekas suaminya mengambil anaknya
itu.
“Saya sudah membuat laporan
polis berhubung kehilangan anak dan syak bekas suami melarikannya kerana saya
tahu dia bijak memujuk.
“Tidak mustahil anak gadis
saya mengikutnya kerana dia masih mentah dan mudah termakan pujuk rayu bapa
tirinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment