Monday, 19 November 2012

INSIDEN CULIK MASUK HARI KELIMA





LAHAD DATU: Insiden penculikan melibatkan seorang pengurus ladang dan penolongnya yang berlaku di sebuah ladang sawit, terletak dua kilometer dari pantai berhampiran Felda Sahabat 15, Lahad Datu pada Rabu lalu kini telah pun memasuki hari ke lima, kelmarin (Ahad).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah, yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian itu semalam berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima apa-apa panggilan berhubung sebarang tuntutan meminta wang tebusan ataupun pihak mengaku terbabit dalam insiden itu.

Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya percaya kedua mangsa itu kini sudah berada di luar negara, selain kemungkinan semua suspek mengenali latar belakang keluarga serta perniagaan mereka.

“Berdasarkan siasatan, kita tidak menolak kemungkinan suspek dipercayai mengetahui latar belakang keluarga mangsa berdasarkan kepada laluan yang digunakan oleh penjenayah ini untuk ke pantai jauh daripada perumahan pekerja.

“Pihak polis juga sudah berhubung dengan pihak berkuasa negara jiran untuk membantu dalam kes ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, pada Jumaat.

Dalam kejadian yang berlaku antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang Rabu lalu, pengurus ladang berusia 33 tahun dan penolongnya yang berusia 25 tahun telah dilarikan lima lelaki bersenjata api.

Semasa kejadian berlaku, kedua-dua mangsa bersama dua pekerja berada dalam sebuah rumah sarang burung walet di ladang kelapa sawit milik keluarga mereka.

Bagaimanapun, dua lagi pekerja yang berada bersama mangsa pada waktu kejadian tidak diapa-apakan oleh kumpulan penculik itu.

Berikutan kejadian itu, polis telah meminta agensi keselamatan lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am dan pihak berkuasa dari negara jiran untuk membantu mengesan mangsa dan penjenayah terbabit.

Sementara itu, salah seorang bapa mangsa culik yang hanya mahu dikenali sebagai Tung, 60-an, berkata dia sangat sedih dengan insiden yang menimpa anaknya ini dan berharap anak lelakinya masih selamat.

Tung memberitahu, sebaik saja dia diberitahu mengenai insiden berkenaan, dia cuba untuk menghubungi anaknya dan pada masa itu panggilannya telah dijawab oleh seseorang yang tidak dikenalinya.

“Pada jam 4.08 petang, saya cuba menghubungi telefon bimbit anak saya dan ia dijawab oleh suara seorang yang tidak dikenali dan berkata ‘siapa ini, apa kau mahu? Sebelum meletakkan telefon.

”Kami sekeluarga sangat sedih dengan insiden ini dan sejak hari kejadian saya susah untuk tidur kerana sering teringatkan nasib anak saya serta sepupunya,” katanya dengan nada sedih.

1 comment:

  1. Kes pencolekan ini disebabkan oleh negara kita terlalu membebaskan orang asing berkeliaran di tanah kita terutamanya di bahagian pantai timur sabah. Bila kita ke sana dengan mudah kita dapat menemui rakyat asing atau pti ini. Jadi apa langkah kerajaan untuk perkara ini tidak berulang lagi. Setahu saya saban hari banyak bot yang bertolak ke seberang pada waktu malam. Pihak berkuasa atau PJA yang ada di kawasan ini macam peluk tubuh sahaja tanpa mengambil tindakan apa - apa atau hanya menunggu arahan. Apatah lagi di pesisir pantai Felda Sahabat, rata - rata PTI yang berkampung di situ. Semua orangpun tahu cuma pihak berkuasa tidak menguat kuasakan undang - undang. Mengapa ini terjadi ? AAAnnnaaakkk Sabah Malaysia.

    ReplyDelete