Oleh : JAMALUDDIN MUHAMMAD
PHNOM PENH : Pemimpin-pemimpin Asean Ahad memutuskan
penubuhan Komuniti Asean pada 31 Disember, 2015 bila Malaysia mengambil alih
jawatan pengerusi Sidang Kemuncak Asean pada tahun itu, kata Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Perdana Menteri berkata
tarikh itu dipilih serentak dengan Sidang Kemuncak Asean 2015 yang dihos oleh
Malaysia di samping memberi masa yang cukup bagi negara-negara anggota Asean
membuat persiapan di peringkat kebangsaan masing-masing.
Pada mulanya, pendapat umum
di kalangan rakyat Asean, komuniti itu perlu ditubuhkan menjelang 1 Januari,
2015.
Komuniti Asean akan
berasaskan pada tiga tunggak utama - Komuniti Politik-Keselamatan Asean,
Komuniti Ekonomi Asean, dan Komuniti Sosio-Budaya Asean.
Komuniti Asean, antara lain,
akan dibentuk berasaskan norma-norma dan nilai-nilai rantau ini, penubuhan
sebuah pasaran tunggal dengan penduduk 600 juta dan aliran bebas perdagagan dan
pelaburan.
Bercakap kepada wartawan
Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke 21 di sini, Najib berkata
mesyuarat hari ini mengesahkan bahawa 74.2 peratus daripada usaha ke arah
pembentukan Komuniti Asean telah dicapai setakat ini.
Oleh itu, setiap negara
anggota perlu menggembleng inisiatif masing-masing bagi merealisasi matlamat
itu, kata beliau.
Mengenai isu Laut China
Selatan, Perdana Menteri berkata para pemimpin Asean mengakui bahawa isu
sensitif itu perlu diselesaikan secara damai.
"Asean sedia berunding
dengan China dan menyelesaikan isu itu menerusi rundingan," kata beliau.
Selain China dan Taiwan,
empat negara Asean iaitu Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei turut membuat
tuntutan masing-masing ke atas sebahagian daripada perairan itu.
Mengenai mesyuarat bilateral
beliau dengan Presiden Myanmar Thein Sein di luar sidang kemuncak, Najib
berkata Thein Sein menghargai bantuan kemanusian Malaysia yang disalurkan
kepada masyarakat Islam dan Buddha yang menjadi mangsa keganasan baru-baru ini
di negeri Rakhine di Myanmar.
Najib berkata Thein Sein
memberitahu beliau mengenai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu
termasuk kemungkinan mengiktiraf generasi ketiga masyarakat Rohingya sebagai
warga Myanmar serta menyediakan mereka pendidikan dan peluang pekerjaan.
Najib berharap perkembangan
terbaru itu akan membolehkan 80,000 rakyat Rohingya yang kini mencari
perlindungan di Malaysia dapat pulang ke tanah air mereka.
Kira-kira 800,000 rakyat
Rohingya yang tinggal di negeri Rakhine tidak bernegara ketika ini oleh kerana
Myanmar mahupun Bangladesh tidak mengiktiraf penduduk berkenaan sebagai
warganegara mereka. (Bernama)
No comments:
Post a Comment