Thursday, 22 November 2012

RAMAI 'KATAK' DAN 'BERUDU' DALAM PKR?





Saudara Pengarang,

PERJALANAN Politik Sabah, khususnya Parti KeAdilan Rakyat (PKR) di daerah Semporna sejak akhir-akhir ini kurang mantap dan terpesong daripada hala tuju perjuangan sebenarnya sehingga mula dicurigai rakyat kerana perebutan jawatan.

Ramai orang keliru dengan perjalanan politik PKR kerana sejak kebelakangan ini, ramai ahli PKR ialah 'Katak-Katak' dan 'Berudu' yang melompat atau berenang daripada UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kecewa kerana tidak mendapat apa-apa keistmewaan.

Selama menjalankan Road Show selama tiga bulan di Semporna, saya masuk kampung keluar kampung bersama Ketua Puteri Sri Kandi Cabang Semporna, Nazmahwati Walli untuk melihat sendiri benarkah rakyat di daerah berkenaan terhimpit dalam mengharungi kehidupan seharian. Memang terbukti ramai yang masih melarat, kalau ada yang senang hanya kerabat atau kroni Wakil Rakyat  yang terdekat sahaja.

Pada mulanya, saya bersemangat untuk membuat liputan setiap pergerakan Sri Kandi PKR sehingga beberapa pemimpin politik yang tidak pernah mengenali  siapa Nazmahwati sebenarnya  yang sering  terpampang wajahnya  di portal Sabahkini.Net. Nazmah jadi glamor, lantas ramai masyarakat di Semporna sudah mengenali dirinya.

Dalam pada itu, semasa saya berada di Semporna selama 3 bulan,  saya menyedari PKR Semporna bercelaru dan tidak stabil pentadbirannya; sama ada di peringkat cabang, ranting berbanding dengan UMNO/BN.

Bila ada program besar-besaran,  kita tidak nampak kehadiran Ketua Waninta PKR mahupun AJK lainnya. Saya  mengetahui sedikit sebanyak yang telah berlaku dalam PKR Semporna.

Saya tidak menafikan, Ketua Sri Kandi PKR Cabang Semporna, Nazmahwati dan beberapa orang pengikut setianya memang bekerja keras berjuang habis-habisan; bukan sahaja melibatkan tenaga, bahkan juga melibatkan wang ringgit semata-mata mahu mencari pengaruh dan penyokong dari setiap sudut.

Beberapa bulan kebelakangan ini,  PKR terus senyap seribu bahasa sehingga  tiada sebarang pergerakan langsung politik, lantas saya balik ke Sandakan untuk meneruskan tugas-tugas lainnya.

Walaupun saya tidak lagi berada di Semporna, dalam beberapa waktu, sekali sekala saya terdengar ramai pendatang baru mahu menyertai PKR; tetapi  yang  anehnya 60 peratus pendatang baru yang menyertai PKR hanya berniat mahu menjadi calon  tetapi tidak mahu berjuang  dari akar umbi.

Saya berpeluang bertanyakan beberapa penyokong tegar PKR sendiri, seandainya pendatang baru itu terpilih sebagai calon pada PRU 13, nanti bagaimana pula dengan kedudukan pejuang-pejuang tulen PKR atau pengasas PKR Semporna yang sudah bertahun-tahun lamanya?

Dalam konteks  ini,  saya  berani mengatakan pendatang baru dalam politik terutama daripada Parti Pakatan Rakyat (PPR) yang tidak tahu siapa mereka sebenarnya,  bolehlah dicap sebagai makhluk perosak.

Manakala kemasukan profesional seperti Dr Zamri Hj Habi ke PKR, telah diragui oleh para penyokong tegar PKR kerana bapanya orang kuat UMNO, sementara ibunya Ketua Wanita UMNO Semporna dan saya melihat air mukanya tidak ikhlas dan menyimpan niat yang tersembunyi.

Seandainya Dr Zamri terpilih sebagai calon PKR untuk menentang calon BN/UMNO di kawasan Parlimen Semporna menentang Datuk Shafie Apdal; mampukah Dr Zamri menumbangkan pemimpin yang banyak berjasa kepada puluhan ribuan rakyat?

Rakyat bimbang, kerana faktor keluarga, kemungkinan besar Dr Zamri akan menarik diri di saat akhir, terutama bagi memastikan tradisi 'Bog-Bog' kekal terpelihara. Maka ketika itu, segala yang diperjuangkan BN selama ini menjadi sia-sia; bagaikan tanam padi, tumbuh lalang.

Sekian terima kasih

Salam Hormat,


SAIMON S JUMADI,
Blok 17, Lot 3D, Taman Mesra, Sandakan

No comments:

Post a Comment