Sunday, 14 April 2013

ANSARI PUNCA ANWAR BATAL UMUM CALON?






Oleh: KREW SABAHKINI.NET

KOTA KINABALU : Majlis Pengumuman Bakal-bakal Calon Pakatan Rakyat (PR) terutamanya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sabah yang dijangka akan diadakan bersempena dengan kunjungan Penasihat Umum PKR; Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa tempat di Sabah termasuklah Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang di Papar dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan di Kota Belud menghampakan penyokong-penyokong PR yang mengharapkan pengumuman awal sebelum hari penamaan calon tidak menjadi realiti.

Penyokong-penyokong PKR yang sudah tidak sabar-sabar menanti pengumuman itu, tentunya mengharapkan pengumuman itu akan mendahului BN Sabah, tetapi malangnya tidak menjadi realiti apabila Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR); Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan terdapat satu atau dua kawasan yang masih lagi belum diputuskan kedudukannya.

Adalah difahamkan pembatalan itu ada kaitannya dengan pengumuman sendiri Ketua Cabang PKR Tuaran, Haji Ansari Abdullah sebagai Calon di Parlimen Tuaran serta mengumumkan juga Calon di 6 kawasan lain di Sabah; meskipun perlakuan itu tidak mendapat restu dari pimpinan PKR negeri mahupun PKR Pusat.

"Sehubungan dengan itu, pembatalan mendadak yang dilakukan Anwar itu amatlah menghampakan dan mendukacitakan penyokong-penyokong PKR yang begitu ghairah untuk mengetahui bakal-bakal calon yang akan bertanding bagi kawasan-kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada pilihanraya umum tidak lama lagi," kata beberapa orang ahli PKR yang sempat ditemui di sini.

Meskipun demikian, beberapa orang pemerhati politik menyatakan tumpuan PR pada kali ini adalah untuk menampilkan calon-calon berwibawa yang akan menjadi 'Giant Killer' di beberapa DUN penting seperti Kawasan Sungai Sibuga yang diwakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman yang dijangka akan menghadapi pertemuan dengan Ketua Perhubungan PKR Sabah, Ahmad Tamrin Haji Jaini, seorang pemimpin lama yang memiliki perjuangan sejati untuk mengalas harapan rakyat di kawasan berkenaan.

Ahmad Tamrin yang telah sekian lama berkecimpung dalam politik sejak dari era USNO dijangka mempunyai peluang yang cerah untuk merebut kawasan itu dari penyandang sekarang yang dilihat oleh rakyat semakin berkuasa menentukan peluang lebih banyak kepada kroni dan kerabatnya semata-mata; sedangkan ruang dan peluang seperti itu patut juga diberikan kepada banyak lagi rakyat yang berkelayakan untuk memperolehinya.

Selain itu tumpuan juga terarah kepada Pengerusi Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS); Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin yang akan memberi harapan yang tinggi untuk pembangkang menawan Kawasan Parlimen Beufort dan DUN Klias.

Dengan pengorbanan besar melepaskan kedudukan istimewa semasa menjawat kedudukan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Lajim yang mendapat gelaran 'Janang Gayuh' dijangka akan mendapat sokongan jitu dari pengundi-pengundi di kawasan berkenaaan yang terdiri dari sebahagian besarnya Kaum Bisaya.

Kawasan Parlimen Beufort dijangka menarik apabila diwar-warkan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Penguna Sabah; Datuk Azizah Mohd Dun akan membawa cabaran BN merampas kawasan itu dan Pemangku Ketua UMNO Beufort; Isnin Ali Asneh berusaha untuk mendepani cabaran bekas ketuanya di DUN Klias.

Sementara itu Mantan ADUN Kuala Penyu, Datuk John Ghani dijangka akan bertanding mewakili PKR merampas semula kawasan itu yang dimenangi oleh BN menerusi calon UPKO; Datuk John Teo. PR yang menaruh harapan besar memenangi kawasan itu lebih-lebih lagi cabarannya terletak atas ketokohan John Ghani sendiri.

Pilihanraya pada kali ini yang dianggap tersengit juga akan lebih menarik di Kawasan Tuaran apabila penyandang Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang juga Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang dilaporkan terpaksa menerima laluan mewakili kawasan itu setelah kononnya rundingan tercapai di antaranya dengan Ketua Cabang PKR TUaran; Haji Ansari Abdullah.

Seperti juga konon dilaporkan, Haji Ansari terpaksa menerima  pencalonan untuk bertanding di Kawasan DUN Tamparuli yang sebelum ini diwakili oleh Ketua Pemuda PBS Pusat; Datuk Jahid Jahim, meskipun Ansari lebih berminat dan mendapat sokongan darpada Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Tuaran untuk beliau bertanding di Kawasan Parlimen sahaja.

Perjuangan Bumburing selaku Mantan Timbalan Ketua menteri Sabah dijangka lebih 'getir' lagi apabila begitu sukar mendapat sokongan dari puak Ansari; terlebih lagi apabila BN yang mempertahankan Kawasan Parlimen Tuaran mempertemukannya dengan Mantan Ahli Parliman kawasan berkenaan yang juga Setiausaaha Agung UPKO; Datuk Wilfred Madius Tanggau.

Pembangkang yang berusaha keras untuk merampas banyak kawasan Parlimen dan DUN di Sabah dijangka akan juga memberikan tumpuan terhadap kawasan penting seperti di Parlimen Kota Belud di mana pemimpin Serikandi PKR Sabah, Munirah Majilis akan membawa cabaran PR yang akan menyaingi Setiausaha BN Sabah; Datuk Haji Abdul Rahman Dahalan.

Manakala di Parlimen Keningau yang diwakili oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS); Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan juga menerima tentangan hebat pembangkang yaang dijangkakan akan mempertemukannya dengan Presiden STAR; Datuk Jeffry Kitingan yang juga adik kandung Pairin sendiri.

Pertandingan juga dijangka lebih menarik apabila Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan; Datuk Hajiji Haji Mohd Noor dari UMNO bahagian Tuaran yang mewakili BN dijangkan akan menerima cabaran kuat jika bekas Ketua Penerangan UMNO Tuaran; Haji Ghulabdin Enjih yang disebut-sebut mempunyai sokongan kuat dari kalngan ahli-ahli UMNO sendiri diberi peluang oleh PR dalam Pilihan Raaya kali ini.

Ghulabdin yang mempunyai pengalaman luas dalam politik adalah merupakan seorang pemimpin masyarakat dari suku Bajau yang telah terlibat dalam banyak kegiatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini.

Melihat kepada langkah yang diambil oleh PR Sabah yang cuba membuat pengumuman calon pada masa dan ketika dijangka tepat, namun kegagalan pimpinan mengumumkannya; menunjukkan pembangkang gagal menyelesaikan kemelut dalaman sehingga pengumuman awal ini tidak memberi peluang terbaik kepada semua bakal-bakal calon yang akan bertanding dalam PRU ke 13 ini untuk membuat persiapan rapi, serta dapat pula memmperkenalkan diri lebih kerap kepada pengundi sebelum hari pengundian berlangsung.

"Badan Perhubungan PR Negeri Sabah yang sedar bahawa sesungguhnya jika pengumuman calon-calon dilambatkan lagi ia akan mengundang banyak permasalahan kepada parti terutamanya parti-parti dalam gabungan pakatan itu sendiri. Ini akan mengakibatkan satu kesukaran kepada calon-calon pembangkang untuk melancarkan pengendalian kempen yang lebih efisyen," kata seorang ahli PKR di Kota Kinabalu.

Adalah diharapkan pengumuman Anwar dilakukan secepatnya bagi menarik sokongan penyokong-penyokong yang ingin mengetahui siapakah pemimpin dan tokoh PR negeri dari PAS, DAP dan PKR sendiri yang akan menjadi bakal-bakal calon dan di kawasan-kawasan  manakah mereka akan diletakkan untuk membawa cabaran pembangkang merampas pemerintahan serta melenyapkan 'Fix Deposit' BN di negeri di Bawah Bayu ini.

No comments:

Post a Comment