Sunday, 14 April 2013

32 WARGA FILIPINA DIBEBAS






By : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Seramai 32 warga Filipina yang ditahan pasukan keselamatan negara di perairan kawasan Tambisan, Lahad Datu tempoh hari kini dibebas dan telah diiring pulang ke negara asal pada jam 5 petang Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata Peguam Negara telah mengarahkan kesemua yang ditahan dibebaskan sebaik siasatan menunjukkan mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengganas di Lahad Datu.

Sebaliknya, hasil siasatan mendapati kesemua mereka telah terkandas di perairan Sabah ketika dalam perjalanan ke Taganak ekoran bot kumpit yang dinaiki mengalami kerosakan sebelum ditahan oleh pasukan keselamatan negara kira-kira jam 2 pagi pada 8 April lalu.

Hamza berkata, pihaknya turut mengembalikan senjata api yang dirampas setelah didapati ia digunakan bagi mengawal keselamatan salah seorang daripada mereka yang merupakan calon bagi jawatan datuk bandar di Tawi-Tawi, Filipina.

“Semalam (Khamis), semuanya telah dibebaskan atas arahan Peguam Negara setelah didapati mereka ini sebenarnya tidak terlibat dengan aktiviti pengganas di Lahad Datu.

“Mereka sebenarnya dalam perjalanan dari Bonga untuk pergi ke Taganak dan bot mereka telah tersasar serta memasuki perairan negara kita sebelum ditahan serta disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Kita telah berpuas hati bahawa mereka ini tidak terlibat dan semalam kertas siasatan telah dirujuk kepada Peguam Negara dan beliau bersetuju untuk menutup kes itu,” katanya dalam sidang media di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Hamza berkata 11 awak-awak dan 21 penumpang yang berusia 20an hingga 50an itu kini dilaporkan dalam perjalanan pulang ke negara asal setelah diiringi oleh pasukan keselamatan ke perairan Filipina pada Khamis lepas.

Beliau turut menafikan laporan-laporan yang mendakwa pihak polis telah melakukan kekasaran terhadap warga Filipina di negeri Sabah memandangkan isu terbabit tidak pernah wujud.

No comments:

Post a Comment