HAKISAN.....Rubiah
dan Mohd Awang menunjukkan kesan hakisan di Kg Tambun.
By : HENRY BATING
KOTA MARUDU : Kira-kira
2,000 penduduk Kg Tambun dan Marudu Laut di sini meminta pihak berwajib agar
membantu menyelesaikan masalah banjir lumpur dan pengorekan pasir yang
mengakibatkan tebing sungai di kampung itu terhakis.
Seorang penduduk, Rubiah
Taib, 60, berkata rumahnya yang terletak dekat tebing sungai kini mengalami
hakisan disebabkan empat tiang rumahnya mulai roboh akibat runtuhan setiap kali
banjir kilat berlaku.
“Kami telah menyampaikan
masalah ini kepada pihak Pejabat Daerah sejak setahun lalu namun keadaan masih
sama, belum diperbaiki,” katanya kepada Utusan Borneo.
Seorang lagi penduduk yang
merupakan kakitangan sekolah, Awang Matusin, 53, berkata pihak berwajib perlu
memberi pembaikan ke atas jalan masuk ke kampung mereka kerana banyak juga
hasil pertanian seperti buah pisang dan kelapa di samping hasil tangkapan
penduduk yang rata-rata bekerja sebagai nelayan.
Awang Salleh Akupa, 48, yang
menyara keluarga dari pendapatan nelayan berkata sejak 15 tahun lalu kuala dan
sungai Bandau keseluruhannya menjadi cetek akibat hakisan dan banjir lumpur.
“Keadaan itu menyukarkan
kami bergerak mencari tangkapan di mana kadang kala kami mudik jauh ke Kuala
Marudu dan sesekali ke Kuala Petegor tetapi hasil tangkapan tidak juga seberapa
disebabkan sungai keruh oleh pembukaan tanah di hulu,” katanya.
Sementara itu, Kasim Amat,
58, memberitahu sepatutnya kerajaan pada masa akan datang dapat memasang
beberapa penghadang atau gabion bagi menghalang runtuhan tebing sungai.
Dua Musah, 60, menceritakan
bahawa dahulunya pada tahun 1970-an atau 80-an keadaan Sungai Bandau amat
jernih dan terdapat banyak bot nelayan dan pengangkutan berlabuh di mana pada
masa itu tiada penerokaan tanah secara besar-besaran apa lagi pengorekan pasir
pihak tertentu.
Sibi Vagio, 52, berkata
masalah hakisan dan banjir lumpur berlaku disebabkan terdapat operasi mengorek
pasir di hulu Sungai Bandau yang berdekatan SJKC Khoi Ming yang terus melakukan
kegiatan meskipun mendapat bantahan penduduk sejak beberapa tahun lalu.
“Kita tidak berniat menuding
jari mengenai operasi syarikat berkaitan mengorek pasir yang mungkin juga
mendapat kelulusan jabatan berkaitan tapi kami merayu fikirkanlah juga masalah
kami sebagai penduduk yang menerima akibat dari pengorekan pasir yang tidak
terkawal,” kata Sani Loloh, 54.
Menurutnya, turut terjejas
ialah beberapa kemudahan awam seperti masjid pekan lama dan sekolah agama
Islam. (UB)
No comments:
Post a Comment