Tuesday, 6 August 2013

MELAWAN DIRI SENDIRI, BUKAN SYIAH


By : Mohd Izzuddin Ramli



Kebelakangan ini isu Syiah kembali hangat dan menjadi topik perbincangan utama. Di negara ini, ia bukanlah menjadi sesuatu hal yang baru, malah dalam dunia Islam sendiri, ia sudah mempunyai akar sejarah yang sangat lama. Namun, oleh kerana negara ini ketika sahaja dipanaskan dengan isu-isu yang kontroversial tetapi jarang sekali dihadapkan dengan perdebatan yang baik, maka ia akan mudah untuk tenggelam dan timbul dengan pantas. Bagi isu ini, dapat dilihat ramai pihak yang datang dengan hujah-hujah yang membela, malah tidak sedikit juga yang mengambil posisi untuk mencela dan menghukum.

Ada pihak yang menggalakkan bahawa perlu adanya dialog dan perbincangan. Perlu dibuka ruang untuk berbicara agar lebih luas lagi pemahaman terhadap sesuatu isu yang berbangkit. Namun, bagi pihak kerajaan yang merasa bertanggungjawab sebagai pengaman seraya mengambil jalan mudah dengan segera menjatuhkan hukum – haram ketika belum sempat masyarakat mengetahui dengan jelas sebab-sebabnya. Ini belum diambil kira pandangan-pandangan ekstrim yang sanggup untuk bertumpah darah dan sebagainya.


Ternyata dalam kesibukan umat Islam untuk mempertegas musuh-musuh luarannya, tanpa disedari mereka juga perlu menghadapi polemik dalaman – tidak hanya sekadar sibuk menggarisbawahi perbezaannya dengan agama-agama lain, malah terpaksa menerima hakikat adanya perbezaan pandangan-pandangan dalam dirinya sendiri.


Dalam konteks negara ini, kewujudan fahaman Syiah dapat dikatakan belumlah menjadi sebuah ancaman. Dalam masyarakat yang heterogen seperti kita, selagi kewujudan mazhab ini tidak menyebabkan kewujudan mazhab-mazhab atau fahaman agama lain tidak terganggu, ia tidaklah dapat dikira sebagai ancaman. Jikapun terdapat pihak yang kurang selesa terhadap fahaman ini dengan melemparkan pelbagai tuduhan-tuduhan sesat, maka yang harus segera dilakukan ialah membuka jalan pemahaman terlebih dahulu tentang kesesatannya. Namun sebaliknya, usaha ini kelihatan seakan-akan payah atau mustahil untuk diwujudkan.


Maka, pada kedudukan ini adalah penting untuk kita sedari bahawa musuh kita sebenarnya bukanlah orang lain, akan tetapi yang paling utama ialah diri kita sendiri. Perlawanan tampaknya perlu dihalakan kepada ketidakmampuan kita untuk mengatasi kesombongan diri, kesulitan kita untuk mewujudkan toleransi antara sesama dan menghormati idea-idea dan cara pandang yang berbeza.


Sejarah penyebaran Islam tidaklah melalui jalan-jalan yang mudah. Sekalipun berhadapan dengan penentangan ketika proses perkembangannya, tetap ada jalan damai yang dilaluinya. Islam juga berhubungan erat dengan budaya masyarakat. Ketika melepasi cabaran-cabaran ini maka Islam yang terbentuk dan dianut bukanlah hanya dengan satu wajah, tetapi datang dalam wajah yang sangat pelbagai. Wujudnya pelbagai penafsiran terhadap ayat-ayat tuhan dan adanya pelbagai variasi mazhab yang mampu untuk berdiri sebelah menyebelah. Terdapat juga kelompok atau individu yang mengambil garis Islam secara keras dan konservatif, ada yang secara sederhana, malah ada yang mengambilnya secara lebih longgar. Kenyataannya ialah, ia sudah berlangsung sejak sekian lama.


Mengakui bahawa kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai dan agama ini bukanlah sesuatu hal yang baru atau datang secara tiba-tiba, maka penting untuk boleh menghormati kepelbagaian wajah ini – menghormati cara orang lain memahami Islamnya. Kegagalan kita untuk meraikan kepelbagaian ini yang harus dilawan. Melawan ketaksuban kita sebagai individu dalam menonjolkan identiti beragama bahawasanya kitalah yang lebih suci, mulia, benar dan terpuji disisi tuhan.


Ketika kita mampu melakukan penentangan keras terhadap orang lain, malangnya kita dalam masa yang sama gagal untuk bersikap kritikal kepada diri sendiri dan mempertanyakan kembali sejauhmana keimanan diri kita. Sikap inilah yang menyebabkan tertutupnya ruang-ruang perdebatan dan mematikan hak-hak orang lain untuk hidup bersama atau sekurang-kurangnya untuk mengekspresikan pendapat. Islam sendiri telah jelas mengajarkan bahawa perbezaan pendapat perlulah dihormati dan diraikan – apa lagi ketika menghadapi kepelbagaian.


Bekas Presiden Republik Indonesia Allahyarham Abdurrahman Wahid ataupun lebih akrab dipanggil Gus Dur dalam Islamku, Islam Anda dan Islam Kita setidak-tidaknya memberi pelajaran baik tentang kehidupan beragama. Dalam “Islamku”, Islam harus difahami sebagai sebuah rentetan pengalaman peribadi yang harus diketahui akan tetapi tidak boleh dipaksakan keatas orang lain. Bagi “Islam Anda”, ia adalah sebuah penghargaan terhadap kepelbagaian ritual keagamaan yang hidup dalam masyarakat. “Islam Kita” pula merujuk kepada keprihatinan seseorang yang mengakui dirinya sebagai muslimin terhadap masa depan Islam yang didasarkan kepada kepentingan bersama.


Oleh hal yang demikian, bagi sesetengah pihak, tindakan kerajaan yang serta merta memberikan kata putus bahawa fahaman Syiah sebagai haram dan sesat adalah kurang menyenangkan. Tugas pemerintah disini harus jelas bahawa yang harus dibela ialah rakyat dan mereka yang ditindas. Sekalipun dikatakan bahawa jumlah pengikut fahaman ini adalah sedikit, ia tetap harus dibela kerana mereka juga adalah warga sekalipun memilih untuk memiliki keimanan yang berbeza dari kebanyakan. Ruang-ruang dialog dan perbincangan harus digalakkan dan bukannya disekat dan dimatikan.


Bagi mereka yang merasa paling benar dengan kehendak tuhan pula, maka fikirkan kembali. Redakanlah ketaksuban dengan memahami Islam sebagai  sebuah “proses untuk menjadi”. Dengan ini kita akan selalu resah dan berusaha untuk mencari kebenaran, menggali ilmu dan sebagainya.  Adapun Syiah dalam konteks negara ini selagi tidak menjadi ancaman kepada kepelbagaian yang kita ada hari ini, apa salahnya untuk diraikan walaupun tidak bersependapat? (TheMalaysianInsider)


* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment