Tuesday 27 August 2013

PENDAKWAAN FAIL RAYUAN KES ALTANTUYA



Oleh: Hafiz Yatim






Keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan dan melepaskan Cif Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dari tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu akan berlarutan ke Mahkamah Persekutuan.

Pendakwaan dalam kes tersebut telahpun memfailkan notis rayuan pada Jumaat lalu sebaik Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut.

Timbalan Peguamcara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam satu kiriman SMS mengesahkan bahawa notis berkenaan telah difailkan.

“Notis berkenaan (untuk rayuan) difailkan pada hari yang sama dengan keputusan tersebut,” kata Tun Majid.

Menurut laporan, Azilah dan Siruyl dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan apabila Hakim Tengku Maimun Tuan Mat, anggota ketiga korum mahkamah, memutuskan bahawa terdapat kesilapan yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut.

Ia melibatkan tindakan mahkamah yang tidak memanggil pembantu peribadi kepada Datuk Seri Najib Razak, DSP Musa Safri, yang didakwa memaklumkan kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda bahawa seseorang akan dihantar untuk membantu dalam isu melibatkan Altantuya.

Pada kebiasaannya dalam jenayah, pihak yang tewas boleh memfailkan notis dalam tempoh 14 hari selepas keputusan mahkamah. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment