Wednesday, 21 August 2013

PENGARAH: PENANGGUHAN TANDA PUTERA PUNCA FILEM HILANG MOMENTUM



Oleh: Hasbullah Awang Chik



Shuhaimi Baba berucap sebelum filem Tanda Putera ditayangkan di The Gardens, semalam. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 21 Ogos, 2013.                                                                                                                                     Tindakan kerajaan menunda tayangan filem Tanda Putera sebanyak tiga kali menyebabkan pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba rasa seperti didiskriminasi oleh kerajaan Malaysia.

Shuhaimi berkata, penerbitannya hilang momentum sejak tahun lalu lagi dan kesannya dapat dilihat daripada sudut pasukan pemasaran yang hilang fokus.

"Mustahil bagi kami untuk mengembalikan momentum itu meskipun Finas berusaha membantu dengan memberikan peruntukan promosi namun masanya terlalu singkat bagi melihat kesannya dan kita hanya melakukan apa yang termampu,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu majlis sambutan Aidilfitri di Kuala Lumpur semalam merujuk kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.

Menurut Shuhaimi, sebelum penangguhan, pihak penerbitannya diberikan masa lebih lama iaitu sekitar tujuh hingga lapan bulan sebagai persediaan untuk mengadakan promosi berbanding sekarang hanya dua bulan.

"Tentu sekali kami tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan menangguhkan tayangan filem ini kerana proses menyiapkan filem ini mengambil jangka masa panjang dan penangguhannya bukan sahaja memberi kesan kepada saya malah pekerja dan pelakon filem lain yang ingin melihat hasil kerja mereka.

"Semasa mendapat tahu penangguhan filem ini, kami sendiri tidak diberi sebab yang jelas mengapa tayangan filem itu dibatalkan namun kita tetap terima dan menganggapnya sebagai risiko dalam industri perfileman," katanya.

Apabila diminta mengulas tindakan Namewee yang mempertikai tayangan Tanda Putera dan filem The New Village berdepan penggantungan, beliau menjelaskan sikap penyanyi Rap itu memang diketahui sukakan kontroversi.

Katanya, Namewee seharusnya berlaku adil dengan bukan sahaja marah apabila filem The New Village tidak dapat ditayangkan, tetapi bersikap sama apabila Tanda Putera ditangguhkan tayangannya sebanyak tiga kali.

"Mereka yang menggelar Tanda Putera ini rasis, mereka berbohong serta menipu orang lain kerana mereka belum menonton dan bagaimana boleh menggelar filem ini rasis.

"Orang yang cenderung menuduh seseorang rasis mungkin mereka sendiri yang rasis lalu cenderung menuduh pihak lain.

"Sebagai contoh DAP menjadikan Tanda Putera sebagai sasaran dengan berusaha menggunakan apa juga isu yang ada untuk dipolitikkan dan mendapat perhatian tetapi Tanda Putera menjadi mangsanya," katanya.


Tanda Putera mula ditayangkan di The Gardens, Kuala Lumpur  semalam kepada media di samping promosi di media sosial seperti Facebook serta dengan strategi pengiklanan lain sehingga ke hari tayangan pertama pada 29 Ogos ini.

Hujung bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui penagguhan filem Tanda Putera bagi mengelak penayangan filem berkenaan dari dipolitikkan semasa musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

Shabery berkata, tiada isu perkauman diketengahkan dalam Tanda Putera tetapi DAP membuat kesimpulan sedemikian walaupun pemimpin DAP belum menonton filem berkenaan.

Tanda Putera mengisahkan persahabatan dan perjuangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam tragedi 13 Mei 1969.

Filem arahan Shuhaimi itu dibantah oleh pembangkang kerana dikatakan memberi gambaran salah mengenai tragedi hitam 13 Mei 1969. (The Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment