Friday, 30 August 2013

PERISTIWA LAHAD DATU SEMARAK SEMANGAT PATRIOTIK SABAH





Gambar fail menunjukkan anggota tentera berkawal di pos pengawal di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Hari Kemerdekaan Ke-56 pada 31 Ogos ini akan disambut dengan penuh semangat patriotik bagi penduduk Sabah yang pernah digemparkan peristiwa pencerobohan pengganas dari Selatan Filipina di Lahad Datu, 12 Februari lalu.

Peristiwa pencerobohan pengganas itu menjadi iktibar kepada rakyat negeri itu mengenai pentingnya perpaduan, semangat patriotik dan mempertahan kedaulatan negara daripada ancaman anasir luar.

Sunardy Sofian, 33, dari Tawau, menganggap sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana peristiwa pencerobohan pengganas itu membangkitkan semangat patriotik yang lebih kuat bagi individu sepertinya.

"Peristiwa hitam yang berlaku di Lahad Datu itu membuka mata dan minda saya mengenai pentingnya kemerdekaan dan kita perlu bersatu padu untuk mengekalkan keamanan yang kita alami," katanya.

Beliau berkata, peristiwa itu perlu menjadi pengajaran kepada orang ramai kerana tanpa pengorbanan dan perpaduan, negara tidak akan aman seperti sekarang.

Dency Guput, 45, dari Semporna, berkata setiap sambutan Hari Kemerdekaan membangkitkan semangat kemerdekaan yang unik, sama seperti 56 tahun lalu iaitu ketika pertama kali negara ini mendapat kemerdekaan.

"Mungkin suasana pada masa itu jauh berbeza berbanding sekarang namun saya menganggap ia sama kerana peristiwa pencerobohan di Lahad Datu itu membangkitkan semangat patriotik terutama kami yang menetap di sekitar kawasan kejadian pencerobohan itu.

"Saya sangat bangga dengan semangat dan keberanian anggota keselamatan negara kita yang sanggup menggadai nyawa untuk semua rakyat Malaysia dan kita perlu menghargai segala pengorbanan itu," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya semangat dan pengorbanan anggota keselamatan, negara sentiasa aman, damai dan bebas daripada gangguan anasir luar yang boleh menggugat keharmonian dan kedaulatan Malaysia.

"Oleh itu untuk menghargai keamanan yang selama ini kita nikmati, kita perlu tunjuk semangat patriotik seperti semangat yang ditunjukkan  anggota keselamatan semasa bertugas mempertahan negara daripada diceroboh seperti di Lahad Datu,” katanya.

Mohd Jefry Lukas, 25, dari Sandakan, berkata Hari Kemerdekaan tahun ini walaupun tiada kelainan dari segi sambutan, namun semangat patriotik jauh berbeza bagi dirinya selepas peristiwa pencerobohan di Lahad Datu yang terletak kira-kira 270 kilometer dari pusat bandar Sandakan.

"Peristiwa itu mengajar saya bahawa keamanan di sesebuah negara sangat penting dan keamanan ini perlu kita jaga.

"Sikap patriotik bukan ditunjukkan dengan hanya memasang Jalur Gemilang tetapi dengan sikap setiakawan warganegara seperti turut serta dalam pelbagai program yang berkaitan dengan perpaduan dan mempertahan negara," katanya yang juga anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu itu mengorbankan 10 anggota keselamatan iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera.

Semasa insiden itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Operasi Daulat bermula 5 Mac selepas rundingan selama sebulan bagi menghantar pulang pengganas itu, yang menceroboh Kampung Tanduo, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu sejak 12 Februari, menemui jalan buntu.

Kejayaan gerakan ofensif operasi itu menyaksikan 68 pengganas ditembak mati dan 173 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 lagi atas pelbagai kesalahan lain.

Operasi Daulat tamat selepas kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom), yang meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri itu, mulai 29 Mac lalu serentak penguatkuasaan Kawasan Keselamatan Timur Sabah (Esszone) demi menjamin keselamatan dan keamanan rakyat Sabah serta kedaulatan negara. (Bernama)

No comments:

Post a Comment