Oleh: Shaimon S Jumadi
DIHARGAI .... Zaini menyampaikan duit raya dan sekampit beras
kepada salah seorang warga emas sambil diperhatikan Sharif (kanan sekali) pada
majlis tersebut
Naib Ketua Pemuda UMNO Libaran Zaini Hj Tksu menyeru masyarakat
yang ada kemampuan digalakkan supaya tampil membantu golongan kurang bernasib
baik seperti anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas setiap kali tibanya musim
perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Katanya sumbangan yang
dihulurkan kepada golongan berkenaan adalah wajar memandangkan peranan mereka
dalam konteks pembangunan negara tidak boleh dinafikan.
Zaini menambah pihaknya
sentiasa menghargai memandangkan ia merupakan tanggungjawab bersama supaya
Aidilfitri yang dirai dapat memberikan kegembiraan penuh makna seperti mana
orang lain.
Setiap tahun, Pemuda Umno Libaran akan tampil menghulurkan bantuan
kepada golongan ini termasuk fakir miskin dan Orang Kurang Upaya atau OKU
setiap kali tibanya perayaan Aidilfitri.
DUIT RAYA ... Sebahagian daripada anak-anak yatim sedang menerima
duit raya serta sekampit beras disampaikan Zaini
"Menjadi tanggungjawab kita semua untuk tampil membantu
memandangkan peranan mereka tidak boleh dinafikan, setidak-tidak bantuan yang
dihulurkan ini mampu menceriakan mereka dalam menyambut bulan yang mulia,"
jelasnya.
Zaini menyatakan demikian ketika ditemui wartawan pada Majlis Jamuan Aidilfitri Bersama
Golongan Kurang Bernasib Baik di kediaman Setiausaha Pemuda Umno Libaran,
Sharif Bokrata di Taman Bukit Permai (Nasalim), di sini, kelmarin.
Pada majlis itu, golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak
yatim, ibu tunggal dan warga emas telah menerima sumbangan berbentuk duit raya
dan sekampit beras dalam majlis yang turut dihadiri bersama ahli-ahli
jawatankuasa pergerakan tersebut.
Menurut Zaini, sumbangan yang seadanya ini sesungguhnya memberikan
kegembiraan kerana para penerima akan merasa diri disayangi apatah lagi ajaran
Islam yang menuntut umat supaya tidak melupakan golongan memerlukan.
Dalam pada itu, ujarnya, selain Aidilfitri perayaan-perayaan lain
juga turut menjadi tumpuan Pergerakan Pemuda Umno Libaran untuk menghulurkan
bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
"Menjadi tumpuan kami untuk tidak melupakan mereka terutama
yang berada di sekitar Libaran ... bantuan yang kita beri ini akan berterusan
sebab ia adalah satu aktiviti tahunan Pemuda Umno Libaran," katanya.
Majlis jamuan yang diadakan turut dihadiri sanak-saudara dan rakan
taulan sambil menikmati hidangan Aidilfitri menyelerakan seperti lemang,
ketupat dan rendang, tetamu juga dihiburkan persembahan nyanyian karaoke.
No comments:
Post a Comment