Friday 16 August 2013

AHLI PARLIMEN HULUR BANTUAN MANGSA KEBAKARAN



Oleh: Saimon S Jumadi


SERAH  BANTUAN…..Datin Linda (tengah, berbaju putih) menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran Kampung Cenderamata


AHLI Parlimen Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin telah membuat lawatan kedua beliau dalam masa seminggu ke Kampung Cenderamata di Batu Sapi untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran.


Dalam lawatan kelmarin, Linda telah menyampaikan bantuan kewangan kepada 85 ketua keluarga selain dari 60 keping papan lapis dan dua lagi kanopi untuk digunakan sebagai tempat perlindungan sementara mangsa-mangsa kebakaran itu.



Linda turut menyampaikan bahan-bahan pembinaan untuk mangsa-mangsa mendirikan tandas sementara berhampiran kawasan kebakaran itu. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Perhubungan Pejabat Ahli Parlimen Batu Sapi Kong Nyuk Thou.


Beliau juga telah menyampaikan bantuan kewangan kepada keluarga warga mas Tze Nah Binti Kuayah yang terkorban dan keluarga mangsa kejutan elektrik Mat Serani Pina, 18, dalam kebakaran yang berlaku pada petang Hari Raya Pertama iaitu 8hb Ogos.


Kebakaran yang bermula pada kira-kira jam 1.10 petang itu telah memusnahkan sebanyak 70 buah rumah dan menyebabkan hampir 621 orang yang kebanyakkan penduduk tempatan kehilangan tempat tinggal mereka.


Ekoran kejadian itu, Wakil Rakyat kawasan Sekong Datuk Hj Samsudin Yahya telah meminta pihak polis untuk menyiasat dakwaan para penduduk kampung bahawa kebakaran itu adalah berpunca daripada perbuatan khianat.



“Ramai yang mendakwa sebelum kejadian kebakaran terdapat sekeluarga telah memindah barang-barang  dan mengosongkan rumah mereka.
Kemudian selang beberapa hari saja berlakunya kebakaran yang berpunca dari rumah yang dikosongkan itu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment