Pergerakan Puteri UMNO
Malaysia mengecam tindakan individu yang menghasilkan video '1 Hari Di Hari
Raya' yang kemudiannya dimuat naik ke laman Youtube, dan menyifatkannya sebagai
satu penghinaan terhadap umat Islam negara ini.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul
Rashid Shirlin berkata lebih menyedihkan lagi pembuat video itu merupakan
seorang yang beragama Islam.
Beliau berkata Puteri UMNO
berpendapat individu berkenaan bukan sahaja perlu dikenakan tindakan
undang-undang disebabkan penghasilan video dengan niat melakukan provokasi
terhadap umat Islam di Malaysia tetapi juga perlu diberi kaunseling oleh
Jabatan Agama Islam Malaysia.
"Ini kerana tindakan
beliau memperlihatkan beliau mempunyai masalah dengan pegangan akidah sebagai
umat Islam atau mungkin kurang pemahaman mengenai hukum.
"Kita mungkin boleh
menjatuhi hukuman denda, penjara atau lain-lain hukuman, kita juga mungkin boleh
mengecam beliau, memarahi beliau atas apa yang telah beliau lakukan.
"Tetapi perkara yang
lebih penting adalah usaha kita untuk membantu beliau memperbetulkan pegangan
akidah agar perkara ini tidak menular ke dalam masyarakat," kata Rosnah.
Rosnah yang juga Timbalan
Menteri Kerja Raya berkata anggota Puteri UMNO tidak mahu individu itu
dikenakan tindakan undang-undang semata-mata "kemudian apabila selesai
menjalani hukuman beliau mengulangi perbuatan sama".
Maznah Yusoff, 38, yang juga
dikenali sebagai Chetz ditahan di cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil
Bukit Aman, Rabu, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun
Keseksaan.
Chetz dipercayai memuat naik
video Hari Raya bersama tiga ekor anjing di YouTube, tiga tahun lepas.
Rakaman video selama 1 minit
44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya
bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan suara latar takbir raya.
Video itu juga menunjukkan
individu itu yang memakai baju hitam mengambil wuduk sebelum menghidangkan kuih
raya kepada anjingnya dan menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri
bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna, asal usul (dengan menunjukkan
gambar tiga ekor anjing)".
Di NIBONG TEBAL, Pulau
Pinang, Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO bahagian itu dan Angkatan Belia
Masjid Sungai Bakap membuat laporan polis berhubung video yang sama.
Wakil kumpulan berkenaan
yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian, Mohd Nor Hiesam Ismail berkata
perbuatan wanita itu jelas menunjukkan tindakan biadap, kurang ajar dan tidak
sensitif terhadap umat Islam terutama di bulan Ramadan ini.
Beliau berkata perbuatan
yang dipaparkan dalam video itu jika tidak dibendung boleh menyebabkan
berlakunya perpecahan di kalangan agama.
"Kami bimbang jika isu
seperti (yang dipaparkan) itu terus diperbesarkan umat Islam akan bangkit
memberontak dan ini berbahaya," katanya kepada pemberita selepas membuat
laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Nibong
Tebal.
Mohd Nor Hiesam berkata
pihaknya berharap kerajaan tidak berkompromi dengan mereka yang jelas
mempersenda agama Islam kerana ia menimbulkan kesan buruk terhadap masyarakat.
"Saya harap perbuatan
itu ditangani supaya perbalahan tidak berlaku dalam masyarakat terutama oleh
orang Islam," katanya. (BERNAMA)
Kenakan juga tindakan yg swajarnya thadap admin FB pages 'Semenanjung Malaysia anti Sabah & Sarawak'...
ReplyDelete