Tuesday 6 November 2012

NURUL IZZAH ‘BUDAK MENTAH’





Oleh : JAMILAH KAMARUDIN

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar didakwa gagal memahami undang-undang syariah Islam apabila menyentuh isu hak kebebasan memilih agama.

Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata, Nurul Izzah sepatutnya memahami Islam secara mendalam sebelum membuat sebarang kenyataan kerana bimbang boleh menggugat akidah.

“Saya anggap Izzah budak mentah. Mungkin dia terpengaruh dengan ajaran bapa (Anwar Ibrahim) yang mendukung amalan pluralisme. Saya minta PAS tarbiyahkan budak ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, kelmarin.

Beliau berkata, kenyataan tersebut cenderung untuk meraih keuntungan politik dan menggesa Majlis Fatwa mengambil tindakan tegas terhadap isu ini.

Nurul Izzah dalam forum 'Islamic State: Which version? Whose responsibility?' Sabtu lalu dilapor berkata tiada seorang pun boleh dipaksa untuk menerima ajaran agama tertentu dan perkara itu juga terpakai untuk orang Melayu.

Namun pemimpin Pakatan Rakyat mempertahankannya dan menganggap kenyataan Nurul Izzah itu telah diputarbelitkan.

Ahli Parlimen PAS-Shah Alam Khalid Samad berkata apa yang cuba disampaikan Izzah adalah kebebasan memeluk Islam atas pilihan sendiri.

“Mesej Izzah adalah jangan anggap kita Islam kerana kita (baka) Melayu. Islam adalah pilihan bukan kerana keturunan,” tegasnya.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula berkata masyarakat beragama Islam di negara ini masih lagi terikat dengan undang-undang syariah dan itu tidak boleh dipertikaikan.

“Nurul Izzah tak nyatakan sedemikan. Dia dah buat penjelasan…itu bagi bukan Islam kerana kita tak boleh paksa orang bukan Islam masuk Islam,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu pagi tadi mengeluarkan kenyataan menafikan gambaran beliau cuba menggalakkan murtad.

“Saya sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad. Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada iaitu setelah memeluk Islam seorang Muslim tertakluk dengan syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya kesal kerana ada usaha kalangan yang cuba memutarbelitkan kenyataan saya, seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad,” katanya.

No comments:

Post a Comment