Friday 23 November 2012

PENJARAKAN PEMBERITA BANGKITKAN KETEGANGAN KAUM





Oleh : ZURAIRI AR

KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin mengakui kerajaan Malaysia menapis berita, akan tetapi menafikan dakwaan kebebasan akhbar disekat.

“Jika anda bermain dengan isu-isu kaum ke tahap di mana orang mahu bergaduh antara satu sama lain, maka kita akan tapis itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini selepas Persidangan Antarabangsa Mengenai Kanak-kanak Mangsa Perang yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW)

“Selain itu ianya agak bebas ... Anda membaca Harakah, Sin Chew Jit Poh, China Press, Malaysiakini .. kita tidak tapis. Kita benar-benar perlu meletakkan mereka di dalam penjara.”

Apabila diminta penjelasan tentang siapa yang seharusnya dipenjarakan, Dr Mahathir menjawab: “Pemberita lah.”

Dr Mahathir sebelum ini mengkritik tentang kekurangan kebebasan akhbar di Amerika Syarikat, di mana berita konflik dunia akibat daripada dasar luar kuasa besar tersebut didakwa ditapis oleh pemerintah.

"Penapisan bukan sahaja dilakukan oleh kerajaan, saya tahu kerana saya berada dalam kerajaan sebelum ini.

"Ia dilakukan oleh pemilik akhbar. Ia dilakukan oleh wartawan seperti anda, dan ia dilakukan oleh sub-editor anda yang akan mengedit apa yang anda tulis," tambah beliau.

Bekas perdana menteri itu dilaporkan sebelum ini mengakui dirinya memulakan blog CheDet.cc oleh kerana suaranya disekat.

“Saya menjadi penulis blog oleh kerana saya disekat dari media arus perdana. Saya masih perlu bercakap sesuatu,” katanya semasa bercakap di program Asian Bloggers and Social Media Conference pada tahun 2010.

Malaysia berada di kedudukan 122 dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2011-2012, berkongsi kedudukan dengan Algeria dan Tajikistan.

Malaysia berada di kedudukan 104 pada tahun 2003, tahun terakhir pentadbiran Dr Mahathir, dan berada di kedudukan 131 pada tahun 2009, tahun Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri. (TMI)

No comments:

Post a Comment