Sunday 4 November 2012

PRASARANA BAIK BOLEH TARIK PELABUR





Oleh EMIN MADI

KOTA KINABALU : Sabah memerlukan sokongan prasarana yang baik dan mencukupi untuk menarik lebih banyak pelabur asing ke negeri ini, kata Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Dr Johan Ariffin A. Samad (kanan).

"Untuk menarik pelabur, Sabah perlu ada beberapa perkara atau jaminan, seperti tenaga elektrik, air dan tanah yang mencukupi serta pelabuhan bagi eksport.

"Tanpa ini, pelabur-pelabur tidak akan ada keyakinan untuk datang ke mari (untuk melabur di negeri ini). Kita perlu menyeimbangkan pembangunan pembinaan antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya kepada Bernama di sini.

Menyebut satu contoh, Johan Ariffin berkata, kini wujud keperluan mendesak untuk menambah baik jalan raya selorong di antara Kimanis dan Kota Kinabalu sekarang, terutamanya dengan pembukaan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis.

"Ini adalah jalan raya bandar utama yang merentas ke Brunei dan Sarawak dan jika kita tinggal di Kota Kinabalu dan bekerja di Kimanis, kita perlu bertolak awal pagi, jika tidak kita akan lewat sampai.

"Keutamaan harus diberikan kepada jalan raya KK-Kimanis-Sipitang ini kerana di sinilah terletaknya semua industri minyak dan gas," katanya selepas menghadiri Perbahasan Meja Bulat mengenai Transformasi Ekonomi Sabah di sini baru-baru ini.

Johan Ariffin ialah seorang daripada peserta perbahasan meja bulat pelabur anjuran Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di sini Rabu lalu, dalam satu perkongsian dengan International Investor, sebuah organisasi risikan perniagaan dan penerbitan yang berpangkalan di UK.

Selain daripada agenda pendidikan dan sosial yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh Kumpulan Yayasan Sabah, beliau juga diberikan kepercayaan untuk menerajui usaha niaga baharu dalam sektor minyak dan gas melalui Petrosab, untuk menyokong usaha-usaha pengindustrian kerajaan.

"Kita lihat banyak pendapatan yang diraih daripada minyak dan gas, dan minyak sawit, jadi kita perlu ada lebih banyak industri hiliran, bukan hanya menjadi titik transit atau pengeksport.

"Kita perlu wujudkan (lebih banyak) industri kecil dan sederhana (IKS) yang merupakan asas bagi ekonomi kita dan juga yang mewujudkan lebih banyak kegiatan ekonomi serta peluang pekerjaan ," tegas beliau.

Katanya, Sabah juga mesti mengkaji pewujudan industri yang lebih tersusun, khususnya rantaian bekalan yang menyokong industri seperti industri peralatan.

"Kita boleh bina kilang yang cantik, yang boleh menghasilkan produk, tetapi kita terpaksa mengimport barangan dari Lembah Klang," tegas Johan Ariffin. (Bernama)

No comments:

Post a Comment