Oleh EMIN MADI
KOTA KINABALU : Sabah
memerlukan sokongan prasarana yang baik dan mencukupi untuk menarik lebih
banyak pelabur asing ke negeri ini, kata Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk
Dr Johan Ariffin A. Samad (kanan).
"Untuk menarik pelabur,
Sabah perlu ada beberapa perkara atau jaminan, seperti tenaga elektrik, air dan
tanah yang mencukupi serta pelabuhan bagi eksport.
"Tanpa ini,
pelabur-pelabur tidak akan ada keyakinan untuk datang ke mari (untuk melabur di
negeri ini). Kita perlu menyeimbangkan pembangunan pembinaan antara kawasan
bandar dan luar bandar," katanya kepada Bernama di sini.
Menyebut satu contoh, Johan
Ariffin berkata, kini wujud keperluan mendesak untuk menambah baik jalan raya
selorong di antara Kimanis dan Kota Kinabalu sekarang, terutamanya dengan
pembukaan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis.
"Ini adalah jalan raya
bandar utama yang merentas ke Brunei dan Sarawak dan jika kita tinggal di Kota
Kinabalu dan bekerja di Kimanis, kita perlu bertolak awal pagi, jika tidak kita
akan lewat sampai.
"Keutamaan harus
diberikan kepada jalan raya KK-Kimanis-Sipitang ini kerana di sinilah
terletaknya semua industri minyak dan gas," katanya selepas menghadiri
Perbahasan Meja Bulat mengenai Transformasi Ekonomi Sabah di sini baru-baru
ini.
Johan Ariffin ialah seorang
daripada peserta perbahasan meja bulat pelabur anjuran Lembaga Pembangunan
Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di sini Rabu lalu, dalam satu perkongsian
dengan International Investor, sebuah organisasi risikan perniagaan dan
penerbitan yang berpangkalan di UK.
Selain daripada agenda
pendidikan dan sosial yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh Kumpulan
Yayasan Sabah, beliau juga diberikan kepercayaan untuk menerajui usaha niaga
baharu dalam sektor minyak dan gas melalui Petrosab, untuk menyokong
usaha-usaha pengindustrian kerajaan.
"Kita lihat banyak
pendapatan yang diraih daripada minyak dan gas, dan minyak sawit, jadi kita
perlu ada lebih banyak industri hiliran, bukan hanya menjadi titik transit atau
pengeksport.
"Kita perlu wujudkan
(lebih banyak) industri kecil dan sederhana (IKS) yang merupakan asas bagi
ekonomi kita dan juga yang mewujudkan lebih banyak kegiatan ekonomi serta
peluang pekerjaan ," tegas beliau.
Katanya, Sabah juga mesti
mengkaji pewujudan industri yang lebih tersusun, khususnya rantaian bekalan
yang menyokong industri seperti industri peralatan.
"Kita boleh bina kilang
yang cantik, yang boleh menghasilkan produk, tetapi kita terpaksa mengimport
barangan dari Lembah Klang," tegas Johan Ariffin. (Bernama)
No comments:
Post a Comment