Monday 21 January 2013

BN IKHLAS RINGANKAN BEBAN RAKYAT






BANTUAN...Musa menyampaikan bantuan Awal Persekolahan kepada salah seorang penuntut.

Oleh : SAIMON S JUMADI

KERAJAAN  Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah menepati janjinya kepada rakyat jelata terutama di negeri ini apabila pelbagai usaha dan inisiatif berjaya mensejahterakan rakyat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata bidang pendidikan sahaja negeri ini menerima peruntukan yang besar daripada kerajaan pusat apabila program pembangunannya turut membantu memperkasakan pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang.

Beliau berkata, antaranya seperti penyediaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), bantuan tuisyen, kemudahan asrama termasuk juga pemansuhan yuran sekolah selain Baucar Buku IPT sebanyak RM200 dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia.

Katanya, kerajaan turut membina sekolah-sekolah baru dan memperbaiki sekolah yang ujur di samping memberi bantuan buku teks; komputer 1Malaysia; menyediakan guru-guru terlatih; meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran; membina rumah guru yang lebih selesa; kenaikan gaji serta gred guru mengikut 'time based'.

"Dalam Bajet 2013 pada bulan September tahun lepas saja, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan persekolahan sebanyak RM100 di mana sejumlah RM498 juta peruntukan bantuan khas ini diagehkan kepada setiap 4.98 juta pelajar di seluruh negara.

"Peruntukan sebenar yang disediakan bagi 2013 adalah kira-kira RM540 juta iaitu termasuk untuk pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat, tetapi Kementerian Pelajaran belum menerima jumlah sebenar pelajar terbabit," jelasnya.

Musa menyatakan demikian ketika berucap melancarkan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2013 peringkat Negeri Sabah di Dewan SMK Merpati, di sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris; Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya; Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Haji Mahiruddin dan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Hajah Maimunah Suhaibul serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir.James Wong.

Ketua Menteri menegaskan keikhlasan kerajaan sekurang-kurangnya membantu meringankan beban rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum malah ia tidak berhenti setakat itu bahkan program murni seumpama ini diteruskan.

Tambahnya, apatah lagi Perdana Menteri sentiasa memikirkan perancangan bagi memastikan masa depan generasi akan datang terjamin.

Pihak kerajaan, katanya lagi, menjadikan bidang pendidikan sebagai satu keutamaan dan terbukti menerusi pembangunan Hab Pendidikan Sandakan yang telah memberi peluang kepada rakyat bagi mendapatkan pendidikan tanpa perlu ke luar negara dengan kos yang tinggi.

"Kerajaan Negeri juga menyalurkan peruntukan yang besar dalam bajet negeri untuk pembangunan belia dan modal insan di mana menerusi Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat pelbagai inisiatif disediakan ke arah melahirkan modal insan yang terlatih dan berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang tertentu.

"Ini kerana, kepesatan pembangunan negeri memerlukan tenaga mahir dan profesional dalam bidang-bidang teknologi, minyak dan gas termasuk kejuruteraan, pertanian moden, kemahiran serta banyak lagi," ujarnya.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri sehubungan itu berharap bantuan sebanyak RM100 yang diberikan kepada setiap pelajar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, melalui bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan beban dan perbelanjaan sekolah anak-anak khususnya golongan kurang kemampuan.

Dalam pada itu semasa sidang akhbar, beliau juga turut mendoakan agar pelajar terus cemerlang dan berjaya dalam bidang akademi masing-masing.

"Menjadi harapan dan hasrat kerajaan agar anak-anak menjadi insan yang berguna sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.

"Kerajaan Negeri dan rakyat amat menghargai apa jua usaha dan keprihatinan kerajaan pusat dalam membantu meringankan beban rakyat termasuk juga menerusi pelbagai inisiatif dan program pembangunan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M); Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M); Klinik 1Malaysia; PR1MA; Tayar 1Malaysia dan Susu 1Malaysia.

"Rakyat amat menghargainya dan inilah bukti keikhlasan kerajaan BN dalam menepati janjinya," kata Musa.

Pada majlis pelancaran bantuan berkenaan menyaksikan Musa menyampaikan replika cek Bantuan Awal Persekolahan 2013 kepada 24 pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dari seluruh negeri ini.

Beliau juga menyampaikan bantuan RM100 itu kepada para pelajar mewakili 10 buah sekolah sekitar Sandakan sambil ditemani ibubapa masing-masing.

No comments:

Post a Comment