BANTUAN...Musa
menyampaikan bantuan Awal Persekolahan kepada salah seorang penuntut.
Oleh : SAIMON S JUMADI
KERAJAAN Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah menepati janjinya kepada
rakyat jelata terutama di negeri ini apabila pelbagai usaha dan inisiatif
berjaya mensejahterakan rakyat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk
Seri Musa Haji Aman, berkata bidang pendidikan sahaja negeri ini menerima
peruntukan yang besar daripada kerajaan pusat apabila program pembangunannya
turut membantu memperkasakan pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan
cemerlang.
Beliau berkata, antaranya
seperti penyediaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah
Pelajar Miskin (KWAPM), bantuan tuisyen, kemudahan asrama termasuk juga
pemansuhan yuran sekolah selain Baucar Buku IPT sebanyak RM200 dan Kad Diskaun
Siswa 1Malaysia.
Katanya, kerajaan turut
membina sekolah-sekolah baru dan memperbaiki sekolah yang ujur di samping
memberi bantuan buku teks; komputer 1Malaysia; menyediakan guru-guru terlatih;
meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran; membina rumah guru yang
lebih selesa; kenaikan gaji serta gred guru mengikut 'time based'.
"Dalam Bajet 2013 pada
bulan September tahun lepas saja, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan
persekolahan sebanyak RM100 di mana sejumlah RM498 juta peruntukan bantuan khas
ini diagehkan kepada setiap 4.98 juta pelajar di seluruh negara.
"Peruntukan sebenar
yang disediakan bagi 2013 adalah kira-kira RM540 juta iaitu termasuk untuk
pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat, tetapi Kementerian Pelajaran
belum menerima jumlah sebenar pelajar terbabit," jelasnya.
Musa menyatakan demikian
ketika berucap melancarkan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Tahun
2013 peringkat Negeri Sabah di Dewan SMK Merpati, di sini, kelmarin.
Hadir sama Ahli Parlimen
Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum,
Datuk Zakaria Mohd Edris; Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya; Ketua Pergerakan
Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Haji Mahiruddin dan Timbalan Pengarah Pelajaran
Negeri, Hajah Maimunah Suhaibul serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan
(MPS), Datuk Ir.James Wong.
Ketua Menteri menegaskan
keikhlasan kerajaan sekurang-kurangnya membantu meringankan beban rakyat yang
terdiri dari pelbagai kaum malah ia tidak berhenti setakat itu bahkan program
murni seumpama ini diteruskan.
Tambahnya, apatah lagi
Perdana Menteri sentiasa memikirkan perancangan bagi memastikan masa depan
generasi akan datang terjamin.
Pihak kerajaan, katanya
lagi, menjadikan bidang pendidikan sebagai satu keutamaan dan terbukti menerusi
pembangunan Hab Pendidikan Sandakan yang telah memberi peluang kepada rakyat
bagi mendapatkan pendidikan tanpa perlu ke luar negara dengan kos yang tinggi.
"Kerajaan Negeri juga
menyalurkan peruntukan yang besar dalam bajet negeri untuk pembangunan belia
dan modal insan di mana menerusi Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian
Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat pelbagai inisiatif disediakan ke arah
melahirkan modal insan yang terlatih dan berkemahiran tinggi dalam
bidang-bidang tertentu.
"Ini kerana, kepesatan
pembangunan negeri memerlukan tenaga mahir dan profesional dalam bidang-bidang
teknologi, minyak dan gas termasuk kejuruteraan, pertanian moden, kemahiran
serta banyak lagi," ujarnya.
Musa yang juga Menteri
Kewangan Negeri sehubungan itu berharap bantuan sebanyak RM100 yang diberikan
kepada setiap pelajar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, melalui bantuan
berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan beban dan perbelanjaan sekolah
anak-anak khususnya golongan kurang kemampuan.
Dalam pada itu semasa sidang
akhbar, beliau juga turut mendoakan agar pelajar terus cemerlang dan berjaya
dalam bidang akademi masing-masing.
"Menjadi harapan dan
hasrat kerajaan agar anak-anak menjadi insan yang berguna sekali gus menyumbang
kepada kecemerlangan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.
"Kerajaan Negeri dan
rakyat amat menghargai apa jua usaha dan keprihatinan kerajaan pusat dalam
membantu meringankan beban rakyat termasuk juga menerusi pelbagai inisiatif dan
program pembangunan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M); Kedai Rakyat
1Malaysia (KR1M); Klinik 1Malaysia; PR1MA; Tayar 1Malaysia dan Susu 1Malaysia.
"Rakyat amat menghargainya
dan inilah bukti keikhlasan kerajaan BN dalam menepati janjinya," kata
Musa.
Pada majlis pelancaran
bantuan berkenaan menyaksikan Musa menyampaikan replika cek Bantuan Awal
Persekolahan 2013 kepada 24 pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dari seluruh
negeri ini.
Beliau juga menyampaikan
bantuan RM100 itu kepada para pelajar mewakili 10 buah sekolah sekitar Sandakan
sambil ditemani ibubapa masing-masing.
No comments:
Post a Comment