KOTA KINABALU : Ketua
Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan rakyat Sabah, terutama penjawat awam
supaya tidak terpengaruh dengan slogan 'tukar kerajaan' yang dimainkan
pembangkang bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan
datang.
Sambil menepis dakwaan
pembangkang bahawa kerajaan sedia ada "tidak membawa apa-apa
pembangunan" kepada rakyat di negeri ini, Musa yang juga pengerusi Barisan
Nasional (BN) Sabah berkata bahawa hanya orang buta dan tuli sahaja yang tidak
mampu melihat kebenaran.
"Kalau mahu tukar
(kerajaan) mudah sahaja...tapi adakah itu membawa kebaikan atau kemudaratan
kepada rakyat dan negeri ini?
"Di mana-mana sahaja
kita boleh melihat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN. Saya yakin rakyat
Sabah atau penjawat awam matang dan tahu menilai prestasi kerajaan BN yang
banyak membawa pembangunan dan menolong rakyat dalam semua aspek tanpa mengira
agama, bangsa dan keturunan," katanya.
Beliau berucap pada majlis
perhimpunan perdana Ketua Menteri bersama penjawat awam negeri di Dewan
Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah di Likas, dekat sini Khamis.
Turut hadir Speaker Dewan
Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri
Sukarti Wakiman, timbalan-timbalan ketua menteri, menteri-menteri,
pembantu-pembantu menteri dan ketua-ketua jabatan.
Musa turut menggariskan
kejayaan dan pencapaian kerajaan BN yang membawa perubahan besar dan menyeluruh
dalam landskap pembangunan di negeri ini.
Katanya ini termasuk
kejayaan kerajaan negeri mengurus kewangan dengan baik seperti yang terkandung
dalam Laporan Perbendaharaan Negara selain berjaya mendapat anugerah 'Clean
Bill' selama beberapa tahun berturut-turut.
"Ini bermakna Sabah
adalah antara negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang terbaik di negara
ini," katanya.
Beliau berkata dengan
kedudukan kewangan yang kukuh, kerajaan negeri mampu membelanjakan berbilion
ringgit bagi pelbagai projek pembangunan di negeri ini, dan tahun ini sahaja,
kerajaan negeri menyediakan bajet tahunan melebihi RM4 bilion.
Musa berkata walaupun beliau
gembira dan berpuas hati dengan pencapaian negeri ini setakat ini namun rakyat
Sabah terutama penjawat awam perlu bekerja keras bagi mencapai lebih banyak
kejayaan.
"Memang saya akui kita
ada kelemahan dan masih ada yang belum dicapai tetapi yang penting dengan
adanya kerjasama antara pemimpin dan kakitangan kerajaan negeri dan
Persekutuan, kita akan mencapai kejayaan yang membanggakan," katanya.
"Dari segi pendidikan,
kini kita ada Universiti Malaysia Sabah, Kolej Yayasan Sabah (yang bakal dinaik
taraf kepada kolej universiti) dan Kolej Kadazandusun Murut (Kolej KDM) yang
akan dibina di Tambunan," katanya.
Ketua Menteri turut menolak
dakwaan pembangkang yang kononnya Sabah adalah negeri termiskin di negara ini,
sebaliknya meminta Universiti Malaysia Sabah dan cawangan kampus UiTM membuat
kajian lanjut berhubung perkara itu.
Katanya di bawah pimpinan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memperkenalkan pelbagai
program transformasi, Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi sebuah
negara maju dan pembaharuan itu wajar disokong oleh semua lapisan masyarakat.
"Di bawah program
transformasi Perdana Menteri, tiada pihak atau kaum yang terpinggir...semua
rakyat mendapat manfaat dan pembelaan yang sewajarnya," katanya.
Oleh itu, beliau berharap
penjawat awam dapat membantu memberi atau menyebarkan persepsi positif terutama
kesungguhan kerajaan dalam membangunkan negeri ini, sekali gus memastikan
kelangsungan program pembangunan untuk kemudahan rakyat. (Bernama)
No comments:
Post a Comment