Saturday, 19 November 2011

RM100 DURIAN RUNTUH UNTUK PELAJAR



REPLIKA….Kurup menyerahkan replika cek sebanyak RM101,100 kepada penolong pegawai pelajaran daerah Ampalus, disaksikan oleh Andau dan Zulkifle.

Oleh : HASSAN YAS

LEBIH kurang 2,000 orang, terdiri daripada ibubapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nabawan menghadiri Majlis Pelancaran Pengagehan Bantuan Khas Awal Persekolahan 2012 yang diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah berkenaan pada akhir sessi persekolahan pada Jumaat.

Langkah kerajaan melalui Bajet 2012 yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini terus dilaksanakan dengan pemberian intensif RM100 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah bagi membantu pembiayaan pakaian dan buku serta alat tulis awal persekolahan tahun 2012 bagi kemudahan kepada rakyat.

Majlis pengagehan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Tan Sri Joseph Kurup di Nabawan.

Kurup berkata, belanjawan 2012 adalah merupakan durian runtuh kepada rakyat kerana pelbagai bantuan diberikan kerajaan untuk manfaat rakyat dalam membangunkan modal negeri ini.

Justeru itu, kata Kurup, apabila rakyat menerima bantuan percuma dari kerajaan ia hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya dengan membeli keperluan asas persekolahan seperti peralatan sekolah anak-anak dan pakaian agar perbelanjaan persekolahan pada tahun 2012 dapat dirancang sebaik mungkin.

Pengagehan RM100 meskipun tidaklah seberapa, namun sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban ibubapa dalam mencari wang untuk membiayai anak-anak yang akan bersekolah pada tahun depan.

Dalam pada itu katanya, setiap ibubapa hendaklah memastikan anak-anak mereka mencapai prestasi yang meningkat, oleh kerana kerajaan amat prihatin dengan pembangunan dari segi akademik atau pendidikan mereka.

"Langkah kerajaan melalui bajet yang diumumkan Perdana Menteri kita amat disambut baik kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin dengan rakyat, sehingga majlis pengagehan yang dimulakan hari ini dapat dilaksanakan sebagai bukti ketelusan janji pemimpin kerajaan untuk membangunkan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menyarankan kepada murid-murid sekolah agar mengelak dari terjebak dari gejala sosial yang tidak baik, yang hanya menghancurkan masa depan mereka.

“Tugas ini juga adalah digalas oleh ibubapa yang senantiasa menjaga anak mereka dan memastikan segala aktiviti anak-anak mereka sentiasa terkawal agar mereka tidak terjerumus ke kancah perbuatan yang buruk,” katanya.

Beliau juga berharap agar dengan pemberian bantuan tersebut dapat membantu ibubapa mengurus persekolahan anak-anak mereka pada tahun hadapan dengan lebih baik lagi, oleh kerana pada tahun hadapan sebagaimana bajet untuk Kementerian Pelajaran kerajaan akan memberi RM500 kepada setiap ketua keluarga yang berpendapatan kurang dari RM3,500 untuk tujuan berkenaan.

Kurup juga mengumumkan akan membina sebuah dewan besar untuk kegunaan sekolah berkenaan sebagaimana yang dipohon oleh saekolah berkenaan bagi tujuan tempat perkumpulan apabila terdapat majlis besar-besaran di sini.

Turut berucap ialah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Ampalus Sanaron. Katanya, ibubapa seharusnya memberi teladan di rumah dalam mendidik anak-anak yang cemerlang dengan memberi belaian kasih sayang dan memastikan anak mereka hadir ke kelas pada setiap sesi persekolahan.

Beliau turut menyarankan ada empat kumpulan yang seharusnya bekerjasama dalam memastikan kejayaan anak-anak iaitu pelajar itu sendiri berdikari, ibubapa sebagai pendorong, guru sebagai sumber ilmu dan pemimpin sebagai penyokong dalam memastikan kemajuan pendiddikan mereka.

Seorang bapa kepada murid di sekolah berkenaan yang juga Ketua Kampung (KK), Rasat Mangun, 39, dari Kg.Loboh Baru Nabawan berkata, langkah kerajaan untuk memberi intensif RM100 amat disambut baik bagi membolehkan ibubapa dapat mengatur lebih awal perbelanjaan anak-anak mereka yang bersekolah pada tahun hadapan.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan BN kerana amat prihatin kepada rakyat di Sabah, khususnya dan bersyukur kerana pemberian tersebut apatah lagi tambahan RM500 kepada setiap ketua isi rumah pasti dapat membantu meringankan bebanan ibubapa dalam menyekolahkan anak-anak mereka, terima kasih PM!,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan diharap agar dapat meneruskan pengagehan bantuan berkenaan pada tahun-tahun mendatang oleh kerana pentingnya bantuan tersebut untuk melangkah ke negara maju dalam sistem teknologi tinggi yang kian mencabar global.

GEMBIRA….Faridah dan Hilda gembira kerana mendapat bantuan. Gambar sisipan KK Rasat.

Pemberian bantuan tersebut dianggap durian runtuh oleh kerana selain Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), biasiswa dan bantuan makanan; kini kerajaan melangkah setapak lagi dengan memberi bantuan RM 100 dan kemudian nanti RM500, merupakan langkah proaktif pemimpin kita.

Rasat berharap agar golongan seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal, balu dan orang miskin tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan yang kini rancak di negeri ini.

Dua orang pelajar kembar Hilda dan Faridah Bte Munin, 15, turut berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian RM100 tersebut, kerana menurut mereka ia merupakan bantuan yang dapat meringankan bebanan ibu tunggal mereka kerana bapa mereka telah meninggal dunia baru-baru ini.

Hilda dan Faridah yang terharu dengan pemberian itu turut merasa gembira kerana kerajaan amat prihatin dalam membangunkan rakyat kurang mampu di negara ini dan mereka amat berpuashati dengan langkah berkenaan.

"Kami akan memastikan bantuan khas ini dimanfaatkan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah bagi sesi persekolahan tahun 2012, oleh kerana ia dapat membantu untuk meringankan beban ibu tunggal kami,” katanya.

Faridah yang bercita-cita ingin menjadi doktor dan Hilda pula ingin menjadi pendidik akan memastikan cita-cita mereka tercapai kerana kini hanya mereka yang menjadi harapan ibu mereka diatas ketiadaan ayah mereka dan berharap rakan-rakan turut merasakan apa yang mereka rasakan iaitu kegembiraan ketika pihak kerajaan memberi perhatian.

Turut berucap ialah Pengerusi pelaksana majlis tersebut Pengetua SMK Nabawan Andau Sanan. Katanya keprihatinan kerajaan amat disambut baik dan diharap pelajar mendapat suntikan semangat untuk berusaha mencari ilmu setinggi mungkin agar mereka mencapai kecemerlangan, ini kerana kerajaan sentiasa memberi sokongan dengan pemberian bantuan sejak sekian lama.

Turut hadir ialah guru besar SK Pekan Nabawan Zulkifle Supar; guru-guru SMK Nabawan, ibubapa dan murid, kerana selepas ucapan pelancaran oleh Kurup maka pembahagian wang tersebut dilaksanakan oleh guru-guru yang ditugaskan di kaunter-kaunter yang dibuka mengikut kelas masing-masing.

No comments:

Post a Comment